
KUCHING – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang bersidang hari ini meluluskan pindaan kepada Perlembagaan Negeri bagi menukar gelaran Ketua Menteri kepada Premier.
Rang undang-undang itu diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga apabila 67 ahli dewan menyokongnya dengan enam menentang.
Ketika membentangkan rang undang-undang itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pindaan itu seiring pindaan Perlembagaan Persekutuan yang berkuat kuasa minggu lepas.
Semasa menjelaskan penggunaan ‘Premier’ bagi menggantikan ‘Ketua Menteri’ di bawah Perkara 6(3) Perlembagaan Sarawak, beliau berkata ia sama seperti yang diamalkan oleh negara-negara Komanwel lain.
“Ketua Persekutuan digelar sebagai Perdana Menteri dan Ketua Wilayah membentuk Persekutuan digelar Premier manakala subwilayah atau negeri lain diketuai oleh Ketua Menteri,” katanya.