
PETALING JAYA – Seorang ejen hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dakwaan cubaan membunuh selepas melanggar seorang anggota polis di sekatan jalan raya (SJR) di Seri Kembangan, Sabtu lepas.
Harian Metro melaporkan, Yap Kah Wai, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan hakim Jamaludin Mat.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa cuba membunuh Lans Koperal Meor Asri dengan melanggar mangsa menggunakan kereta jenis Toyota Vios di SJR di Jalan Besar Seri Kembangan menghala ke Pekan Seri Kembangan, jam 1.50 pagi pada 5 Feb lalu.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan sebarang ikat jamin kepada tertuduh dengan mengambil kira keadaan mangsa yang parah dan tertuduh memiliki pelbagai rekod jenayah lampau.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 17 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan kejadian seorang anggota polis yang bertugas dalam SJR di Seri Kembangan patah kaki kanan dan menerima enam jahitan di kepala serta cedera di tangan akibat dirempuh kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai positif dadah.