
CYBERJAYA – Empat individu ditahan selepas dipercayai terlibat dalam penjualan sijil cuti sakit palsu di sekitar Shah Alam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor ACP Azman Ali berkata, bertindak kepada laporan yang diterima, polis telah membuat serbuah ke sebuah rumah di Jalan Kaloi 17/17 Seksyen 17.
Dalam serbuan itu, polis merampas sejumlah dokumen sijil cuti sakit palsu yang telah siap dicetak dan juga peralatan membuat serta mencetak sijil cuti sakit.
“Antara yang dirampas ialah 62 keping sijil cuti sakit palsu, lima buah telefon bimbit pelbagai jenama, satu set komputer, satu mesin cetak dan dua keping kad ATM,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, suspek yang berusia 22 hingga 35 tahun itu ditahan reman sehingga 11 Feb ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan memperdaya dengan mengemukakan dokumen yang palsu sebagai sah.
“Jika disabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan juga dikenakan denda,” katanya.