
CYBERJAYA – Empat pengendali pasar raya besar di negara ini telah diberi kebenaran untuk mengimport ayam bulat sejuk beku dari beberapa negara serta menjualnya terus kepada pengguna.
Laporan Berita Harian hari ini menyebut, kebenaran menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) itu mampu menampung permintaan pengguna di negara ini sekali gus dapat menstabilkan harga bahan makanan tersebut.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pasar raya yang diberi Lesen Import (AP) untuk mengimport ayam bulat sejuk beku ialah Mydin, NSK, Lulu dan Lotus’s.
Jelasnya, langkah pemberian AP khas bermula 8 Feb lalu itu adalah untuk membolehkan bekalan ayam diperoleh terus daripada pemborong tanpa memerlukan orang tengah, termasuk ejen bekalan.
“Kerajaan mengambil tindakan tepat dengan memberikan kelulusan kepada empat pasar raya untuk mengimport ayam bulat. Maknanya pasar raya berkenaan boleh dapatkan (mengimport) dan menjualnya secara terus.
“Bagi saya, kaedah itu dapat menurunkan harga kerana mereka tidak perlu (caj) melalui orang tengah atau ejen, sebaliknya jual dengan harga rendah terus kepada pengguna,” katanya dalam laporan tersebut.
Kerajaan sebelum ini membenarkan beberapa syarikat yang dilantik oleh MAFI untuk mengimport ayam bulat sejuk beku sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ayam sebulan sehingga bulan ini bagi menangani kekurangan bekalan.
Bagaimanapun disebabkan beberapa masalah teknikal usaha itu tergendala dan harga ayam bulat di negara ini naik mendadak selepas beberapa pemborong mendakwa harga makanan ternakan itu meningkat beberapa kali ganda berbanding sebelumnya.