Enam kes AEFI daripada setiap sejuta dos penggalak diklasifikan sebagai serius

0
33
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 80 laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) melibatkan dos penggalak vaksin Covid-19 diklasifikasikan sebagai serius setakat 11 Feb lalu.

Menurut Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara, Dr. Roshayati Mohamad Sani, kadar berkenaan bersamaan dengan enam laporan bagi setiap juta dos.

“Pelaporan AEFI dalam kalangan penerima dos penggalak direkodkan berjumlah 1,104 bersamaan kadar 85 laporan bagi setiap sejuta dos.

“Daripada jumlah laporan AEFI yang diterima bagi dos penggalak ini, hanya 80 laporan diklasifikasikan sebagai serius bersamaan kadar enam laporan bagi setiap juta dos,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, kadar berkenaan lebih rendah daripada keseluruhan pelaporan AEFI iaitu 386 laporan bagi setiap juta dos.

Kenyataan itu turut menyebut, 93 peratus daripada AEFI yang dilaporkan adalah tidak serius seperti demam, sakit pada tempat suntikan, sakit kepala, sakit otot dan keletihan.

“Kesan sedemikian merupakan kes advers yang paling kerap dilaporkan oleh penerima vaksin.

“Kesan-kesan ini biasanya akan pulih di dalam masa 1 hingga 2 hari,” kata kenyataan itu lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here