
CYBERJAYA – Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) cawangan Melaka yang ditutup selepas mengalami keretakan akibat gempa bumi kelmarin akan mula beroperasi semula pada 1 Mac ini.
Menurut LHDN dalam satu kenyataan, penutupan itu adalah bagi memberikan laluan kepada kerja-kerja penilaian struktur bangunan dan penyelenggaraan
“LHDN sentiasa memberikan keutamaan
kepada keselamatan semua pekerja dan orang ramai yang berurusan di semua premis
dan kaunter perkhidmatan yang disediakan.
“Sehubungan dengan itu, LHDN ingin memaklumkan bahawa Pejabat LHDN cawangan Melaka akan ditutup sementara sehingga esok bagi memberikan laluan kepada kerja-kerja penilaian struktur bangunan dan penyelenggaraan susulan kesan gempa bumi di Indonesia yang berlaku pada 25 Februari yang lalu.
“Selain itu, ia juga ditutup untuk membolehkan urusan sanitasi pejabat dilakukan. Pejabat LHDN ini dijangka kembali beroperasi pada Selasa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, katanya, sepanjang tempoh penutupan sementara itu, semua janji temu pelanggan yang telah diluluskan melalui sistem e-Janji Temu untuk hadir ke kaunter berkenaan adalah dibatalkan dan pelanggan perlu membuat permohonan janji temu yang baharu setelah kaunter dibuka semula.
Sehubungan itu, katanya, para pelanggan disyorkan untuk membuat semakan senarai pejabat dan cawangan LHDN yang ditutup sementara terlebih dahulu sebelum hadir ke mana-mana premis bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Katanya, senarai tersebut boleh dicapai melalui pautan berikut:
http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/Notis_Penutupan_Cawangan_LHDNM_1.pdf.
“Sebarang pemakluman terkini berkenaan operasi Pejabat LHDN Cawangan Melaka
akan diberikan dari semasa ke semasa.
“Sekiranya orang ramai mempunyai pertanyaan dan memerlukan maklum balas berkaitan hal ini, ia boleh diajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara), HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/,” katanya.
Kelmarin kebanyakan kawasan di Pantai Barat Semenanjung mengalami gegaran susulan gempa bumi sekuat 6.2 skala Ritcher melanda Pantai Barat Sumatera.