
CYBERJAYA – Semua guru wanita kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) kini boleh menikmati cuti bersalin berelaun penuh selama 60 hari berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Ketua Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zakaria Othman berkata, penambahbaikan itu dibuat melalui Peraturan KAFA Tahun 2022.

“Jakim ingin memaklumkan bahawa Peraturan KAFA Tahun 2022 telah ditambah baik dengan memasukkan perkara 42.1 (a) (iv) berkenaan cuti bersalin berelaun selama 60 hari bagi guru KAFA wanita yang bersalin.
“Kemudahan itu diberi sekali sepanjang tempoh kontrak lantikan semasa yang sedang berkuatkuasa, dan pemberian elaun ini berkuatkuasa mulai 1 Januari 2022,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Sehubungan itu, kata Zakaria, Jakim telah memaklumkan semua agensi pelaksana KAFA di semua negeri berkenaan penambahbaikan itu melalui surat siaran bertarikh 9 Februari lepas.