
KUALA LUMPUR – Hanya 5,000 daripada hampir 115,000 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Kelantan telah mendaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) setakat ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata, bagi memastikan angka itu terus meningkat, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan negeri untuk menjayakan PICKids yang bermula di negeri itu semalam.
“Kita perlu bekerja keras kerana masih ada lagi ibu bapa yang belum membuat keputusan dan tidak menolak kemungkinan ramai dalam kalangan mereka mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk vaksinasi kanak-kanak ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan PICKids Peringkat Negeri Kelantan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu, semalam.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan PICKids Peringkat Negeri Kelantan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Zaini berkata ibu bapa yang pada awalnya menghantar borang tidak bersetuju untuk anak mereka diberikan vaksin COVID-19 di sekolah dan kemudian berubah fikiran, boleh memohon semula janji temu baharu atau datang terus ke mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV).
Beliau berkata setakat ini terdapat 400 PPV disediakan di Kelantan termasuk di sekolah-sekolah rendah, klinik kesihatan kerajaan dan klinik swasta untuk menjayakan PICKids di negeri itu.
Sementara itu, di Pulau Pinang, Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Norlela Ariffin berkata 14 sekolah rendah dijadikan PPV untuk PICKids bermula hari ini di Pulau Pinang bagi mempercepat proses vaksinasi.
Beliau berkata setakat Sabtu lepas, seramai 40,000 daripada 160,000 kanak-kanak di Pulau Pinang telah mendaftar untuk PICKids yang bermula di negeri itu pada 7 Feb.
Katanya bermula dengan dua PPV iaitu di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya, lima lagi PPV dibuka sejak Sabtu lepas iaitu di Tapak Pesta Sungai Nibong, Dewan Sunshine Bayan Baru, Sunshine Bertam, Tapak Ekspo Seberang Jaya dan Dewan MPKK Bandar Cassia.
Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali sebelum ini menyatakan 1,055 sekolah dikenal pasti untuk dijadikan sebagai PPV PICKids yang akan beroperasi selewat-lewatnya hari ini.
PICKids dilancarkan pada 3 Feb lepas dengan menyasarkan seramai 3.6 juta golongan kanak-kanak berusia lima hingga bawah 11 tahun bagi melindungi kanak-kanak di negara ini daripada jangkitan teruk COVID-19.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan sekali gus mencegah kluster dalam kalangan warga sekolah. -BERNAMA