
KUALA LUMPUR – Hanya dua jenis mercun atau bunga api dibenarkan untuk jualan sempena perayaan Chap Goh Mei pada 15 Februari ini iaitu dari jenis Pop-pop dan Happy Boom.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, kebenaran hanya diberikan untuk dua jenis bunga api berkenaan kerana ia tidak mengandungi bahan bakar yang merbahaya kepada keselamatan.
Bagaimanapun katanya, penjualan kedua-dua produk itu masih memerlukan permit dari Ibu Pejabat Polis Daerah dan mengikut spesifikasi ditetapkan.
“PDRM mengingatkan orang ramai bahawa larangan memiliki, menjual, membeli dan bermain mercun serta bunga api masih lagi berkuat kuasa sempena mana-mana perayaan termasuklah sambutan Tahun Baharu Cina dan perayaan Chap Goh Mei,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sesiapa didapati memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun atau bunga api selain daripada yang dibenarkan, boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).
Abd Jalil berkata, mereka yang bermain atau membakar mercun dan bunga api dilarang boleh dihukum penjara tidak melebihi sebulan atau denda sehingga RM100 atau kedua-duanya mengikut peruntukan Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.
Chap Goh Mei merupakan hari ke 15 dan terakhir perayaan Tahun Baru Cina yang diraikan dengan pemasangan tanglung dan membakar mercun.