[VIDEO] Hidung berdarah ditumbuk, Adib Raof perlu jalani ujian MRI – Penang FC

0
91
Pemain Penang FC, Adib Raof mengalami kecederaan di bahagian hidung selepas berlaku pergaduhan antara pasukan itu dan TFC II semalam

CYBERJAYA – Pemain tonggak baharu Penang FC, Adib Raof yang cedera di bahagian hidung akibat ditumbuk dalam pergaduhan antara pemain pasukan itu dan Terengganu FC II semalam akan menjalani ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) bagi menilai tahap kecederaan dialaminya.

Menurut Penang FC dalam satu kenyataan, pihaknya berharap tiada kecederaan teruk dialami oleh bekas pemain Perak FC itu bagi mengharungi perlawanan Liga Super musim hadapan.

“Penang FC mengambil maklum bahawa tindakan Adib Raof yang cuba meleraikan insiden yang berlaku telah disalahfahami sebagai satu bentuk provokasi oleh pemain lawan yang menyebabkan beliau mengalami kecederaan serius di bahagian hidung akibat tindakan secara fizikal tersebut.

“Tindakan agresif ini juga nampaknya telah menyebabkan beberapa pemain-pemain Penang FC hilang kawalan bagi membalas balik tindakan fizikal tersebut.

“Kita berharap melalui ujian MRI yang akan dijalankan ke atas pemain berkenaan, tidak melibatkan kecederaan yang boleh menyebabkan beliau tidak dapat bermain dalam mana-mana perlawanan penting dalam tempoh masa yang lama,” katanya.

Semalam, perlawanan terakhir antara kedua-dua pasukan itu bagi merebut trofi Piala YAB Menteri Besar Terengganu telah dicemari dengan aksi pergaduhan.

Aksi panas di antara kedua-dua pemain pasukan itu tercetus selepas sepakan penalti di penghujung aksi separuh masa pertama milik pasukan Penang FC gagal disempurnakan oleh pemain importnya, Endrick dos Santos.

Dalam pada itu, Penang FC juga tidak berhasrat memanjangkan insiden berkenaan dan berharap pemain pasukannya lebih bersabar dan sentiasa mengutamakan keselamatan diri daripada provokasi pihak lawan.

Perlawanan TFC II menentang Penang FC terhenti akibat pergaduhan

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan menarik diri daripada perlawanan itu, katanya, pihaknya mengambil kira isu keselamatan yang bakal timbul sekiranya perlawanan itu diteruskan.

“Pihak pengurusan tidak berpeluang mendapatkan gambaran dari aspek persediaan keselamatan dan ketenteraman awam di dalam dan luar stadium jika perlawanan diteruskan, pihak pengurusan perlu membuat suatu pendirian yang tegas apabila berada dalam situasi berkemungkinan terdapatnya kecenderungan keadaan luar kawalan sekiranya perlawanan diteruskan.

“Sehubungan dengan kekhuatiran daripada aspek keselamatan para pemain kedua-dua pasukan, khasnya dalam mengelak sebarang kecederaan atau situasi memudaratkan dalam dan luar perlawanan, pihak pengurusan telah meminta pasukan Penang FC memberikan laluan mudah kepada pasukan tuan rumah untuk memenangi perlawanan tersebut sebagai tanda semangat kesukanan dan bagi meraikan kejohanan yang berprestij bagi negeri Terengganu,” katanya.

Pada masa sama, Penang FC juga memandang serius situasi provokasi yang menular melalui media sosial yang boleh mendorong mana-mana individu tidak berkenaan mengambil tindakan tidak bijaksana yang membahayakan pemain dan pegawai pasukan.

Katanya, pihak pengurusan sentiasa menyedari bahaya cyberbully dan viral ke atas maklumat tidak penuh boleh mendedahkan para pemain kepada risiko yang tidak perlu.

“Sehubungan itu, sama-samalah kita berdoa dan berharap kecederaan bahagian hidung yang dialami oleh Adib Raof tidak berpanjangan melalui ujian MRI yang akan dijalankan pada hari ini.

“Kita juga berdoa agar pemain TFC II iaitu Ridzuan Razali juga tidak mengalami kecederaan yang serius akibat insiden berkenaan.

“Kepada para penyokong Penang FC, diucapkan terima kasih di atas segala sokongan padu yang diberikan dan pihak Pengurusan memohon maaf di atas keputusan berat yang perlu dibuat pada malam tadi demi keselamatan semua pemain Penang FC dan Terengganu II,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here