
CYBERJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penubuhan hospital menggunakan teknologi 5G merupakan antara contoh usaha kerajaan bagi menyokong konsep Projek Pemangkin (Catalytic Projects) bagi memacu Aspirasi MyDIGITAL.
Perdana Menteri berkata, projek itu akan dilaksanakan dengan kerjasama sektor awam dan swasta.
“Menyokong konsep Projek Pemangkin bagi memacu Aspirasi MyDIGITAL. Mesyuarat bersetuju menubuhkan Pasukan Petugas Projek Pemangkin MyDIGITAL untuk memilih projek yang sesuai dan memantau pelaksanaan yang merupakan kerjasama antara sektor awam dan swasta.
“Projek pemangkin akan dibiayai oleh sektor swasta dan kerajaan akan memainkan peranan sebagai pemudahcara.
“Antara contoh projek pemangkin adalah perubatan pintar menyasarkan penubuhan hospital yang menggunakan teknologi 5G bagi meningkatkan taraf penjagaan kesihatan rakyat dan bandar pintar yang menyasarkan pelbagai kes kegunaan berguna bagi memastikan kelestarian kehidupan yang lebih bermakna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang diadakan buat kali pertama bagi tahun ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), sebanyak 1.89 juta premis baharu yang diliputi dengan capaian gentian optik dan sebanyak 1,189 menara 4G baharu telah dibina dari September 2020 sehingga Disember 2021.
Beliau berkata, di bawah fasa pertama sebanyak 6.85 juta premis diliputi dengan capaian gentian optik dan liputan 4G di kawasan berpenduduk mencatatkan 95 peratus setakat 31 Disember 2021.
Selain itu, katanya, projek Digital Nasional Berhad (DNB) juga telah memulakan akses kepada rangkaian borong 5G di mana sebanyak 500 tapak 5G telah diaktifkan setakat 31 Disember 2021 di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.
Katanya, DNB juga menyasarkan 3,500 tapak bersamaan 36 peratus liputan di kawasan berpenduduk pada penghujung tahun ini.
“Melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK), sebanyak 883 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) sedang beroperasi manakala 28 lagi akan beroperasi menjelang 31 Mac ini di seluruh Malaysia.
“Inisiatif ini menyediakan akses internet kolektif serta program keusahawanan kepada masyarakat setempat,” katanya.
Sementara itu Ismail Sabri turut mengumumkan tarikh 19 Februari ini sebagai ulang tahun pertama pelancaran Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) serta pengenalan MyDIGITAL sebagai satu inisiatif kerajaan untuk mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi serta peneraju serantau dalam ekonomi digital.
Susulan itu katanya, beberapa program telah dan akan dilaksanakan di sepanjang bulan Februari dan Mac, seperti Technopreneur Industry Dialogue, beberapa siri dialog anjuran World Bank dan MyDIGITAL Corporation, Program
Transformasi Digital Pasar Siti Khadijah di Kota Baru, Kelantan, Sesi Perbincangan Meja Bulat mengenai Islamic Digital Technology dan Program Celik Digital Penjawat Awam.