
KUALA LUMPUR- Inter Club Football League (ICFL) maju selangkah dalam pembangunan bola sepak negara di peringkat akar umbi apabila akan menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Bawah 16 (B16) Peringkat Kebangsaan 2022 pada 1 hingga 4 Mac di Kota Bharu, Kelantan.
Presiden ICFL, Datuk Kamil Mokhtar berkata, sebelum ini, ICFL lebih tertumpu kepada penganjuran liga komuniti dan karnival di sekitar Lembah Klang.
Kamil berkata, dengan penganjuran peringkat kebangsaan ini, ICFL berjaya membuat perancangan untuk lebih berkembang dalam arena bola sepak negara.
“Kejohanan Bola Sepak B16 Peringkat Kebangsaan 2022 ini dianjurkan dengan kerjasama Grey United Football Club (Grey United FC) dan juga Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSNK) dan Majlis Sukan Negara.
“Sehingga hari ini, penyertaan masih dibuka dan mana-mana pasukan yang ingin menyertai kejohanan ini, boleh menghubungi Sekretariat ICFL di talian 017-338 7789.
“Lebih menarik, kejohanan ini terbuka kepada mana-mana kelab dan pasukan negeri. Ketika ini, antara pasukan yang telah mengesahkan tempat ialah pasukan Akademi Mokhtar Dahari (AMD),” katanya dalam sidang media hari ini.
Turut hadir Presiden Grey United, Datuk Azmi Haji Arifin dan Pengarah Pembangunan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Mohd Safrushahar Yusoff.

Menurut Kamil, dalam usaha melahirkan pemain bola sepak berkualiti, Kelab Bolasepak ICFL telah mewujudkan satu platform khas untuk belia remaja terutama di peringkat bawah 14 tahun sejak tahun 2018 lagi.
Katanya, ICFL juga juga melihat untuk melakukan pembaharuan dalam ekosistem pembangunan pemain di peringkat akar umbi seperti mana yang digunapakai oleh pasukan Grey United dari Kelantan yang disifatkan cukup sempurna.
Dalam kejohanan ini katanya, Grey United menghantar dua pasukan dan pembangunan pemainnya amat menarik bermula ‘zero to hero’ dengan menjuarai pelbagai kejohanan sebelum ini.
“Sehubungan itu, ICFL juga merancang untuk menerapkan kaedah pembangunan pemain yang sama untuk membenteuk pasukan yang mantap pada masa akan datang termasuk menjalinkan kerjasama dengan sekolah termasuk pusat tahfiz di Lembah Klang,” katanya.
Sementara itu katanya, di sebalik Kejohanan ini, Kelab Bolasepak ICFL turut menyediakan ‘system data base’ bagi setiap pemain dan pasukan yang terlibat bagi persediaan mereka menjadi pemain professional.
“Sistem ini telah terbukti keberkesanannya apabila diguna pakai oleh Kelab Bolasepak ICFL dalam seminar yang dinamakan “KEM JAGUH” di Melaka pada peringkat permulaannya.
“Hasil system data base dan KEM Jaguh ini sangat bagus kerana terdapat perubahan besar yang berlaku terhadap pemikiran dan pencapaian pemain di peringkat yang lebih tinggi, malah ada diantara pemain telah terpilih mewakili negeri dan daerah masing-masing.
“Maksud data base yang disimpan oleh Kelab Bolasepak ICFL ialah satu profil lengkap kepada pemain mahupun pasukan dari segi pencapaian fizikal, teknik, disiplin, skill dan lain-lain apabila menyertai Kejohanan anjuran Kelab Bolasepak ICFL sehinggalah mereka dapat mewakili PLD, MSSN, ataupun kelab-kelab ternama serta mewakili negeri masing-masing,” katanya.
“Dalam pada itu katanya, pasukan yang menjuarai kejohanan ini akan mewakili ICFL Malaysia untuk bersaing dalam kejohanan antarabangsa melibatkan pasukan dan kelab dari negara luar seperti Brunei, Singapore, Thailand, Indonesia, Korea dan Jepun.
“Pihak penganjur berharap ada mana-mana agensi kerajaan atau swasta tampil memberikan sokongan padu kepada penganjuran tahun ini bagi melahirkan pemain yang berkualiti dan menjadi pelapis kepada pasukan bolasepak negara,” katanya.