
CYEBERJAYA – Kejayaan Brainy Bunch sebagai sebuah institusi pendidikan montessori Islam antarabangsa yang disegani banyak terinspirasi daripada ‘testimoni’ ibu bapa yang berkongsikan perubahan diri pada anak-anak mereka.
Pengasasnya, Mohd Fadzil Hashim berkata, perjalanan awal Brainy Bunch yang bermula dengan hanya sebuah tadika pada 2009 bukan sesuatu yang mudah tapi berjaya ditempuhi dengan kecekalan azam dan impian untuk membangunkan ummah yang lebih baik.
Katanya, salah satu daripada kunci yang membawa kepada pencapaian Brainy Bunch hari ini adalah perkongsian kisah perubahan diri anak-anak selepas dihantar mengikuti pembelajaran di tadika tersebut.
“Ramai ibu bapa yang berkongsi pengalaman dan memberikan penghargaan kepada kami kerana telah menyediakan sistem pendidikan yang berjaya mengubah keperibadian anak-anak mereka.
“Ada begitu banyak kisah yang menyentuh hati kami termasuk dalam kalangan ibu bapa yang tidak mengamal dan mempunyai latar belakang agama Islam yang mendalam,” katanya dalam sesi Live Facebook; The Story Behind Brainy Bunch.
Mohd Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, ‘testimoni-testimoni’ itu bukan sahaja menyentuh hatinya bahkan menjadi motivasi untuk terus mengembangkan Brainy Bunch sebagai sebuah institusi pendidikan yang lebih baik.
Kata beliau, salah satu daripada perkongsian itu adalah kiriman email daripada seorang ibu yang berterima kasih selepas mendengar permintaan anaknya yang berusia empat tahun untuk mendirikan solat dan menyedari hanya mereka yang bersolat sahaja disayangi Allah.
“Luahan ibu itu membuatkan saya menangis kerana amat tersentuh dengan perubahan diri pada anak kecil yang masih lagi dipakaikan lampin.
“Jika dilihat di sebaliknya, Brainy Bunch bukan sahaja telah mengubah peribadi anak kecil itu tetapi telah mengubah kehidupan seluruh keluarga itu.
“Kebaikan seperti inilah yang kami harapkan berlaku dan dicapai dalam skala yang lebih besar iaitu umat Islam itu sendiri. Testimoni seperti inilah yang menjadi inspirasi kepada perjalanan Brainy Bunch,” katanya.

Menurut Mohd Fadzil berkata, salah satu pendekatan pertama dan paling utama yang diterapkan dalam perkembangan diri anak-anak di Brainy Bunch adalah kebolehan mendirikan solat.
“Kita harap melalui sistem pendidikan ini, kanak-kanak pada usia seawal tujuh tahun sudah boleh mendirikan solat secara sendiri. Dan di sekolah mereka diajar dan diberikan didikan tentang keperluan solat berjemaah,” katanya.
Namun sebagai sebuah institusi yang menjadi penjaga dan pendidik kepada kanak-kanak, beliau mengakui tidak terlepas daripada cabaran dan rintangan.
Katanya, antara cabaran yang paling sukar adalah untuk memberi kefahaman kepada kakitangan dan warga kerja sendiri mengenai matlamat sebenar penubuhan Brainy Bunch.
“Impian kami bukan sekadar untuk menjadi sebuah lagi tadika yang berjenama dan dikenali tetapi kami mahukan satu sistem pendidikan yang terbaik untuk dunia dan akhirat.
“Apa yang kami mahukan di sini bukan setakat A School tapi The School,” katanya.
Cabaran lain ujar beliau termasuk penekanan kepada penguasaan Bahasa Inggeris bertepatan dengan penubuhan Brainy Bunch sebagai sebuah institusi berlabel antarabangsa.
“Pada permulaannya sangat mencabar kerana kekurangan guru tapi disebabkan kesungguhan, walaupun ketika itu masih ramai guru-guru yang tidak begitu lancar berbahasa Inggeris.
“Kami anjurkan banyak latihan dan kursus kepada guru-guru, siap buatkan skrip-skrip untuk situasi tertentu bahkan tawarkan ibu bapa yang fasih untuk mengajar warga kerja kami.
“Sehingga ada juga ibu bapa yang mempertikaikan kemampuan kami ketika itu kerana mereka tidak faham konsep penglibatan dalam pembangunan ummah yang kami cuba capai,” katanya.

Mohd Fadzil bagaimanapun berkata, tanpa pengorbanan para guru, penghargaan dan semangat daripada ibu bapa pelajar, Brainy Bunch sudah tentu tidak akan berada pada pencapaian hari ini.
“Apa yang kami capai hari ini bukan milik saya, saya sekadar dipilih Allah untuk melaksanakan tugas ini kerana jika kita tidak laksanakan, tidak ramai yang mahu melaksanakannya,” katanya.