
CYBERJAYA – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) memutuskan bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador hilang hak untuk membuat sebarang kenyataan mengenai kewujudan kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Keputusan itu disepakati tujuh anggota EAIC yang dipengerusikan oleh Tan Sri Sidek Hassan setelah mendapati Abdul Hamid tidak pernah mengemukakan sebarang bukti yang menyokong kenyataan beliau.
EAIC juga menegaskan bahawa Abdul Hamid enggan untuk dirakam percakapan lanjut bagi mendapatkan penjelasan berkenaan dengan isu-isu ini.
Selain itu, EAIC juga menegaskan bahawa tiada tindakan yang telah pun diambil oleh bekas KPN berhubung dakwaannya semasa menjawat jawatan tertinggi dalam PDRM.
“Beliau selaku KPN tidak mengambil tindakan sewajarnya, walaupun mengetahui berkenaan dengan isu kartel ini sejak tahun 2020 yang mana beliau mempunyai masa dan kuasa untuk menangani isu ini sebelum mendedahkannya kepada media.
“Beliau selaku KPN sepatutnya mengarahkan pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman untuk menjalankan siasatan secara terperinci dan tindakan sewajarnya perlu diambil terlebih dahulu sebelum isu kartel ini didedahkan kepada pihak media.
“Sebaliknya, beliau tidak memberikan keterangan kepada pihak JIPS Bukit Aman supaya isu kartel ini dapat disiasat dan diselesaikan dan beliau selaku KPN tidak pernah membangkitkan isu kartel ini dalam Mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP),” katanya dalam kenyataan.
Bahkan EAIC juga memaklumkan bahawa ada saksi dalam siasatannya menyatakan bahawa tindakan Abdul Hamid membangkitkan isu kartel pada saat akhir perkhidmatannya mempunyai motif tersendiri.
Sebelum ini keputusan EAIC itu mendapat maklum balas dari Abdul Hamid yang kecewa terhadap hasil siasatan suruhanjaya berkenaan dan menyifatkannya sebagai cetek dan tidak betul.
Sebaliknya Abdul Hamid berkata, beliau telah memberikan keterangan seikhlas yang mungkin demi keutuhan negara dan berprinsipkan berani kerana benar.