Jangan tuduh saya cucuk angin – jururawat

0
51
Tangkap layar jururawat yang melakukan suntikan vaksin Covid-19 kepada anak Khairy Jamaluddin di Facebook KKM hari ini.

CYBERJAYA – Jururawat yang melakukan suntikan vaksin kepada anak bongsu Menteri Kesihatan tampil menafikan tuduhan nitizen yang mendakwa suntikan vaksin Covid-19 yang diberikan adalah ‘kosong’.

Dalam video berdurasi 4 minit yang disiarkan di Facebook Kementerian Kesihatan (KKM) pagi ini, jururawat wanita itu berkata, suntikan vaksin Pfizer itu telah dilakukan mengikut prosedur biasa seperti yang diberikan kepada penerima lain.

“Saya tunjuk kepada ibu dan ayah kanak-kanak berkenaan yang mana untuk kandungan vaksin kanak-kanak adalah 0.2 mililiter, dah mereka setuju.

“Demi Allah saya tidak ada keluarkan apa-apa kandungan vaksin yang tidak masuk ke dalam badan kanak-kanak,” katanya.

Dia menjelaskan, dakwaan yang mengatakan kandungan vaksin telah dibuang terlebih dahulu sebelum suntikan adalah tidak benar kerana picagari yang diturunkan di bawah paras meja seperti yang terpapar dalam video itu adalah cara untuk mengalih tumpuan kanak-kanak ketika dicucuk.

“Saya terpaksa sembunyikan tangan saya dan ke bawah sikit supaya dia tak takut dan bila saya nampak dia okay dan tidak bergerak saya cepat-cepat jab.

“Macamana boleh kata saya buang kandungan vaksin sedangkan saya tidak boleh picit dengan satu tangan sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, dia meminta orang ramai supaya tidak membuat tuduhan mengenai perkara itu sedangkan apa yang dilakukan adalah untuk keselesaan penerima suntikan.

“Siasat dahulu sebelum nak menghakimi sesuatu. Saya rasa saya dah menjalankan tugas mengikut prosedur,” katanya.

Video anak Khairy menerima suntikan vaksin menjadi tular semalam selepas nitizen mendakwa jarum suntikan telah ‘dikosongkan’ sebelum disuntik.

Dalam video tersebut, orang ramai mempertikaikan cara jururawat berkenaan yang ‘merendahkan’ jarum di tangannya sebelum melakukan suntikan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here