Jangan tunduk dengan telco, kerajaan digesa percepat pelaksanaan 5G melalui DNB

0
59
Azizul Hakim Abd Aziz

CYBERJAYA – Kerajaan digesa untuk tidak melengahkan lagi pelaksanaan inisiatif 5G yang bakal memberikan manfaat kepada rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan internet yang lebih laju dan berkualiti.

Menurut penganalisis politik, Azizul Hakim Abd Aziz, sehubungan itu jemaah menteri perlu bertegas untuk melaksanakan inisiatif 5G oleh Digital Nasional Bhd (DNB) tanpa tekanan pihak lain.

Lebih penting, katanya, DNB merupakan salah sebuah syarikat milik kerajaan di bawah Kementerian Kewangan untuk menggerakkan inisiatif 5G di Malaysia supaya seluruh rakyat mendapat perkhidmatan internet yang lebih berkualiti berbanding sedia ada.

“Secara asasnya, jemaah menteri perlu yakin dengan penubuhan DNB sebagai salah sebuah syarikat milik kerajaan di bawah Kementerian Kewangan untuk menggerakkan inisiatif 5G di Malaysia.

“Sebaliknya, jika jemaah menteri tidak sepakat mempertahankan DNB maka keadaan ini akan memberi imej dan konotasi negatif kepada komitmen kerajaan untuk melaksanakan inisiatif 5G kepada rakyat tanpa lengah,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Beliau berkata, secara prinsipnya, penubuhan DNB telah dipersetujui malahan segala proses pemilihan vendor telah dijalankan secara terbuka setelah proses penilaian dan audit yang ketat dilakukan oleh Ernst & Young.

Berikutan itu, katanya, syarikat Ericsson telah dipillih untuk menerajui inisiatif berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh lagi bergantung kepada telco sedia ada selepas mereka gagal memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat sehingga “mobile internet” di negara menerima kritikan hebat dan dianggap sebagai yang paling lambat di rantau ASEAN.

Selain itu, katanya, harga DNB 5G yang jauh lebih murah berbanding dengan harga 4G yang ditawarkan oleh Telco selama ini juga perlu mendapat pertimbangan daripada jemaah menteri.

“Keseluruhan jemaah menteri perlu bersatu hati kerana jika perkara ini dibiarkan berlarutan ia akan merencatkan “timeline” pelaksanaan 5G yang menjadi pemangkin utama kepada program Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia serta pelaksanaan MyDIGITAL,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan bahawa Kabinet akan menyemak semula peranan DNB sebagai syarikat penyedia tunggal bagi spektrum 5G.

Melalui inisiatif berkenaan DNB akan membina dan menyediakan prasarana 5G kepada syarikat telco dengan bayaran sewaan ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Bagaimanapun terdapat ura-ura bahawa syarikat telco menolak penggunaan platform DNB dan mahu membina sendiri prasarana berkenaan bagi meningkatkan untung mereka.

Langkah itu dilihat hanya bakal mengulangi kegagalan inisiatif internet 4G apabila syarikat telco hanya menumpukan pembinaan prasarana di kawasan bandar dan meminggirkan kawasan luar bandar sehingga menyebabkan banyak kawasan mendapat liputan internet yang terhad.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here