Jualan lateks kini jadi pilihan pekebun kecil tingkatkan pendapatan

0
242
Pekebun kini punyai pilihan untuk menjual lateks untuk meningkatkan hasil mereka.

SEBELUM ini, pekebun kecil atau penoreh getah lebih memilih menghasilkan getah skrap untuk dijual namun, kini mereka mempunyai pilihan untuk menjual lateks atau susu getah.

Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) selaku agensi yang bertangungjawab turut memberikan sokongan kepada pekebun kecil untuk mempelbagaikan hasil dan kaedah jualan getah untuk meningkatkan pendapatan.

Untuk tujuan itu, RISDA telah memperuntukkan pelbagai kemudahan serta infrastruktur seperti Depo Pengumpulan Lateks (DPL) bagi pemasaran berkelompok hasil lateks (susu getah) di bawah Program Getah Matang RMKe-12.

Sebagai rekod bagi tahun 2021, sebanyak 13 buah DPL telah beroperasi di seluruh Negara dan 15 lagi DPL baru yang dijangka akan mula dibuka kepada pekebun kecil bermula pada tahun ini. Manakala sasaran pembinaan Depo Pengumpulan Lateks (DPL) menjelang hujung tahun 2025 adalah sebanyak 145 buah yang akan dibina oleh pihak RISDA.

Statistik jualan pada tahun ini pula menunjukkan pada tahun 2021 adalah sebanyak 57,596.60 kilogram (kering) atau 158,328.80 kilogram (basah) lateks telah dijual oleh pekebun kecil kepada kilang pemprosesan lateks MARDEC Berhad, Tapah.

Melalui program pemasaran berkelompok lateks (RISDA) ini, pendapatan pekebun kecil dari ladang dapat ditingkatkan sekurangnya 30 peratus berbanding pengeluaran hasil ladang berbentuk skrap yang diamalkan sebelum ini.

Antara faktor utama pekebun kecil ketika ini mula beralih arah untuk menghasilkan lateks ialah kerana harganya yang lebih tinggi dimana harga purata (FOB) bagi lateks ( 100% KGK) bagi tahun 2021 adalah pada RM9.40 sekilogram berbanding skrap pada RM6.88 (100% KGK).

Difahamkan, sehingga kini kira-kira seramai 304 pekebun kecil memilih untuk menjual lateks dan berdasarkan sambutan baik itu, RISDA mensasarkan jualan lateks dari pekebun kecil akan dapat dipertingkatkan lagi pada masa hadapan.

Faedah Pekebun Kecil Yang Melaksanakan Lateks

Antara DPL yang berjaya menguruskan jual beli lateks dengan baik ialah DPL Bukit Pekan yang terletak di Kampar, Perak yang ditubuhkan sejak Oktober 2020.

DPL Bukit Pekan

Kemunculan DPL ini menerusi bantuan pembinaan berjumlah RM40,000.00 dari RISDA yang kini telah telah berfungsi sebagai lokasi pengumpulan lateks bagi pekebun kecil daripada kawasan sekitar.
DPL ini mempunyai dua tangki penyimpanan lateks berkapasiti tidak lebih daripada 5.6 metrik tan untuk menyimpan lateks sebelum dijual kepada MARDEC.

Hasrat RISDA untuk meningkatkan bilangan pekebun kecil yang beralih daripada pengeluaran skrap kepada lateks bertambah di mana harganya tidak pernah jatuh di bawah harga skrap dan pernah mencapai sehingga RM10 sekilogram (kering).

Pekebun kecil juga tidak lagi berdepan masalah bau, tiada masalah kecurian dan tidak perlu risau untuk menoreh di musim hujan kerana lateks terus dikutip selepas ditoreh.

Selain itu, pekebun kecil yang menghasilkan lateks juga boleh mendapat bantuan Skim Insentif Lateks (SIL) berbentuk bekalan input pertanian iaitu baja getah matang, racun rumpai/kimia dan bantuan penyelenggaraan kebun bagi meningkatkan produktiviti.

Pekebun kecil yang menjual lateks juga layak dibayar Insentif Harga Lateks (IHL) iaitu sebanyak RM1.00 bagi setiap kg lateks kering yang dijual dan pembayaran dibuat terus ke dalam akaun pekebun kecil terlibat pada setiap bulan berikutnya.

Pekebun Kecil Yakin Dengan Penjualan Lateks

Jamaluddin Ohoh menuangkan lateks dalam tangki di DPL Bukit Pekan

Sementara itu, Pengerusi DPL Bukit Pekan, Jamaluddin Ohoh, 63, berkata, ketika ini terdapat 35 pekebun kecil yang menjual lateks di DPL berkenaan berbanding hanya lima orang sahaja pada peringkat permulaan.

Bagi tahun 2021 DPL Bukit Pekan telah menjual sebanyak 11,864.6 kg (lateks kering) dan 36,667.7 kg (lateks basah). Pada setiap minggu, pihak MARDEC akan datang untuk beli lateks yang dikumpulkan.

“Pada mulanya agak susah untuk menarik pekebun kecil menjual lateks namun, lama kelamaan mereka mula yakin selepas pelbagai sesi penerangan diberikan. Sekali datang, seorang pekebun kecil biasanya akan bawa 10 hingga 12 tong lateks.

“Di kawasan Bukit Pekan ini, saya boleh katakan 50 peratus atau separuh pekebun kecil telah beralih daripada menjual skrap kepada menjual lateks. Sebab utama ialah harga lateks yang mahal dan stabil,” katanya.

Kaedah Ukuran dan Penilaian Lateks

Untuk yang belum tahu, lateks yang dihantar ke DPL perlu ditimbang dan dinilai untuk mendapat kadar Dry Rubber Content (DRC) atau Kandungan Getah Kering (KGK) dalam susu getah.

Arif Ngah Omar memeriksa memeriksa kadar DRC lateks

Pengerusi DPL Kampung Orang Asli Air Denak, Arif Ngah Omar, berkata, lateks yang disimpan oleh pekebun kecil sebelum dihantar ke setiap DPL terlebih dahului perlu dicampur dengan cecair ammonia bagi mengelak susu getah membeku.

Arif yang juga merupakan Tok Batin di kawasan berkenaan berkata, terdapat dua kaedah untuk menentukan kadar KGK lateks iaitu dengan menggunakan metrolak dan juga ‘chee’.

“Biasanya, pekebun kecil akan hantar lateks yang dikumpul ke DPL sekali atau dua kali seminggu, selepas penilaian dibuat, kita akan dapat tahu kadar peratusan Kandungan Getah Kering dan hasilnya akan di bayar mengikut nilai semasa lateks,” katanya.

Pekebun Kecil Syukur Harga Lateks Beri Pulangan Lumayan

Yusri Baharom

Pekebun Kecil Kampung Bukit Pekan, Yusri Baharom,49, berkata, dia mula beralih menjual lateks pada tahun lalu dan mendapat pulangan yang lebih berbanding menjual skrap.

Yusri atau lebih mesra dipanggil Atan dalam kalangan penduduk kampung berkenaan berkata, dia turun menoreh seawall jam 7.00 pagi di kebun miliknya yang berkeluasan satu ekar dengan pokok getah berusia kira-kira 13 tahun.

“Rutin harian saya ialah pukul 7 pagi keluar menoreh, selepas selesai menoreh, saya akan rehat kira-sejam sebelum kembali ke kebun untuk mengutip susu getah untuk dikumpulkan dalam tong yang dikhaskan.

“Sehari saya boleh dapat satu tong setengah atau dua tong susu getah. Saya kumpul dalam masa seminggu dan akan dapat sehingga 12 tong sebelum dijual ke DPL Bukit Pekan.

“Pendapatan seminggu menjual lateks, saya boleh dapat antara RM500 hingga RM600. Jauh beza dengan jual skrap dahulu kerananya harganya yang rendah dan tidak stabil. Namun harga lateks pula lebih tinggi, jika turun pun tidak banyak,” katanya.

“Antara kelebihan lain yang diperolehi apabila menghasilkan lateks ialah saya mendapat Insentif Harga Lateks (IHL) iaitu RM1.00 bagi setiap kilogram. Alhamdulillah, dalam sebulan saya boleh memperolehi tambahan pendapatan antara RM300 hingg RM350 melalui bayaran insentif berikut.”

“RISDA adalah sangat prihatin kepada masyarakat pekebun kecil, pelbagai kemudahan dan insentif disediakan. Bermula dari program tanam semula sehingga getah matang semuanya ada bantuan. Terima kasih RISDA dari kami penduduk Bukit Pekan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here