
KUALA LUMPUR – Kerja-kerja pembaikan 40 unit rumah di empat blok rumah pangsa di Taman Melati di sini akan mengambil masa selama tiga minggu lagi untuk disiapkan.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ini berikutan stok bahan binaan tiba agak lambat dan berperingkat kerana kedai dan pembekal sedang dalam cuti umum Tahun Baru Cina.
Bagaimanapun, katanya, kerja-kerja pemasangan ‘canvas’ serta ‘joining’ telah dilakukan oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) susulan bumbung di blok terbabit dibadai ribut sekali lagi pada minggu lepas.
“Oleh itu, pada minggu ini YWP akan terus membaiki semula kerja-kerja yang terjejas dan berharap kerja-kerja baikpulih bumbung dapat disiapkan serta merta.
“Untuk makluman, atap-atap telah ditempah dan akan sampai ke lokasi secara berperingkat bermula minggu ini dan selewat-lewatnya minggu depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya bersa Pengerusi Gabungan NGO Flat Taman Melati yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Penduduk Blok 4B, Abu Bakar Ismail sentiasa berkomunikasi dan berbincang dengan pihak YWP dalam memastikan kerja-kerja baikpulih berjalan mengikut perancangan.
Selain itu katanya, YWP bersama Jabatan Kebajikan Masyakarat Kuala Lumpur juga telah memberikan bantuan makan malam, sarapan dan tengah hari untuk 200 orang yang terlibat dari semasa ke semasa di Pusat Pemindahan Sementara yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sejak Isnin lalu.
“Tambahan lagi, pada 28 Januari lalu, YWP turut menyalurkan sumbangan tunai sebanyak RM250 per keluarga kepada 46 buah keluarga.
“Saya berharap isu ini dapat diuruskan dengan sehabis baik terutama dalam menangani sentimen rakyat,” katanya.