
PUTRAJAYA – Kelantan menjadi negeri paling rendah kadar penerimiaan dos penggalak iaitu sekitar 27.7 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi dewasa di negeri berkenaan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu merunsingkan pihaknya terutamanya apabila Unit Rawatan Rapi (ICU) di negeri berkenaan semakin penuh.
“Sekarang Kelantan paling rendah ambil dos penggalak. Saya runsing kerana ICU semakin penuh.
“Saya minta sangat orang Kelantan sama-sama pergi cucuk vaksin dan booster.
“Kementerian Kesihatan (KKM) sayang orang Kelantan, tolong pergi cucuk (vaksin),” katanya dalam ciapan di Twitter.
Menerusi data dalam COVIDNOW, secara keseluruhannya Kelantan sudah memberikan sebanyak 2,298,896 dos suntikan vaksin.
Daripada jumlah berkenaan, 1,020,322 sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos dengan 1,005,200 lengkap dua dos vaksin. Selain itu, hanya 281,219 sudah menerima dos penggalak.
Selain itu, negeri berkenaan kini mencatatkan 94 peratus kadar penggunaan di ICU, manakala sudah melebihi 100 peratus bagi penggunaan katil bukan ICU.