Kematian remaja di Sabah bukan kerana booster

0
132
Dr Rose Nani Mudin

KOTA KINABALU – Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan dakwaan seorang remaja meninggal dunia akibat suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 di negeri itu sepertimana tular dalam aplikasi WhatsApp semalam.

Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, hasil siasatan yang dilakukan pihaknya mendapati mesej yang tular itu adalah palsu.

Beliau berkata, perkara itu disahkan oleh ibu mangsa yang mengaku anaknya tidak pernah mengambil dos penggalak namun telah melengkapkan dua dos vaksin.

Dr. Rose Nani berkata, dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 masing-masing diterima mangsa pada 31 Julai dan 21 Ogos tahun lepas.

“Pesakit telah meninggal dunia pada 12 Feb. Punca sebenar kematian adalah disebabkan jangkitan paru-paru dan penyakit jantung sejak lahir (congenial heart disease) yang semakin tenat dan bukannya disebabkan dos penggalak vaksin Covid-19 seperti didakwa.

“Keadaan pesakit telah diterangkan kepada ahli keluarga pesakit dan mereka menerima penerangan mengenai punca kematian dengan baik,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Dr Rose Nani berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh ibu pesakit pada Ahad (13 Feb) menafikan kematian anaknya disebabkan oleh dos penggalak vaksin Covid-19 sekali gus menafikan ahli keluarga turut terlibat dalam menyebarkan berita palsu tersebut.

“Hospital Tuaran juga telah membuat laporan polis untuk siasatan dan tindakan lanjut mengenai penularan berita palsu dan gambar pesakit di aplikasi WhatsApp oleh individu tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Dr. Rose Nani menggesa semua rakyat Sabah supaya tidak menyebarkan berita palsu dalam mana-mana media sosial atau aplikasi lain kerana ia bukan sahaja boleh mengelirukan orang ramai bahkan mengancam privasi pesakit dan ahli keluarga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here