Kemelut Ukraine: Sembilan rakyat Malaysia dijangka tiba esok

0
3

CYBERJAYA – Sembilan rakyat Malaysia bersama dua tanggungan mereka yang dibawa keluar dari Kiev, Ukraine dijangka tiba di tanah air esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, turut bersama mereka adalah seorang warga Singapura.

“Alhamdulillah sembilan rakyat Malaysia bersama dua tanggungan mereka telah pun selamat dibawa keluar dari Kiev, Ukraine dan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, dijangka tiba esok.

“Atas dasar persahabatan dan diplomatik, kita juga membantu membawa keluar seorang warganegara Singapura bersama-sama rombongan rakyat Malaysia ke Poland,” kata Ismail Sabri dalam satu paparan di laman Facebook rasminya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, beliau menghargai ucapan terima kasih daripada Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur dalam laman facebook rasminya semalam kerana membantu rakyat negara itu keluar dari Kiev.

Perdana Menteri menyatakan kerajaan Malaysia sentiasa meraikan keakraban kedua-dua negara dan mengajak negara republik itu untuk bekerjasama sebagai keluarga ASEAN.

“Kita tempuhi bersama sebagai satu keluarga dan bekerja bersama sebagai satu keluarga ASEAN,” katanya

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi satu ciapan di Twitter memaklumkan, konvoi yang selamat tiba di Poland awal pagi semalam itu diketuai Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ukraine, Fadhilah Daud.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here