Kemenangan di Johor adalah turning point BN

0
15
Najib Tun Razak berucap pada Majlis Memperkenalkan Calon N.07 Bukit Kepong dan N.08 Bukit Pasirdi Kompleks Seri Pekembar, Pagoh hari ini.

PAGOH – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Johor disifatkan sebagai ‘turning point‘ untuk parti itu menebus maruah selepas kekalahan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, PRN Johor harus dijadikan medan untuk parti itu bangkit semula daripada ‘debu kekalahan’ pilihan raya yang lalu dan menyambung semula bakti kepada rakyat.

Justeru beliau menyifatkan pilihan raya yang akan berlangsung pada 12 haribulan depan itu perlu dimenangi pada skala lebih besar berbanding PRN Melaka pada November lalu.

“Sebagai sebuah parti politik, UMNO sudah sampai ke satu detik, satu persimpangan jalan untuk bangkit semula.

“Peristiwa hitam pada PRU 2014 lalu masih menghantui kita, maka daripada debu kekalahan itu kita telah membina setapak demi setapak, sikit demi sikit.

“Kita kalah dahulu satu bab, tapi bangunnya semula kita akan mencatat bahawa ‘turning point’ yang sebenarnya adalah pilihan raya Johor ini. Kalau Melaka penting, Johor lebih penting,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Memperkenalkan Calon N.07 Bukit Kepong (Ismail Mohamad) dan N.08 Bukit Pasir ( Mohamad Fazli Mohamad Salleh) di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh hari ini.

Najib berkata, selepas menyaksikan penerimaan rakyat di Melaka, beliau yakin parti itu akan memperoleh kejayaan besar di Johor.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, walaupun sebelum ini ramai yang tidak menyangka parti itu mampu bangkit semula, BN telah membuktikan kejayaan cemerlang dalam beberapa pilihan raya yang lalu.

“Bermula dengan PRK Cameron Highlands, ia menjadi rentetan satu demi satu. Antaranya kemuncak di Parlimen Tanjung Piai, di mana BN (MCA) menang pada majoriti yang tidak terfikir iaitu 15,000 lebih.

“Ia menjadi satu detik bersejarah di mana satu parti politik kerajaan kalah dengan majoriti terbesar dalam sejarah pilihanraya negara kita. Kemudian itu berlaku pilihan raya di negeri Sabah dan Melaka,” katanya.

Beliau berkata, antara faktor yang menjadi kekuatan dan rahsia kemenangan parti itu di Melaka adalah kerja jentera parti yang kemas dan mantap, yang tidak dapat ditandingi parti lawan.

Tambah beliau, satu lagi faktor utama yang menyumbang kepada kebolehan BN meramal kemenangan adalah dengan mengenal pasti jumlah ‘pengundi putih’ di sesuatu kawasan.

“Paling utama bila kita sudah pasti yang putih itu benar-benar putih dan itu menyebabkan kita tak sangsi lagi. Kita sudah tahu peratusan pengundi putih yang keluar mengikut masa-masa maka kita dapat meramal kemenangan kita,” katanya.

Justeru, beliau menyeru kepada anggota parti supaya bekerja keras untuk memberi kemenangan kepada BND dalam PRN Johor.

“Kerajaan baharu ini tak ada ‘simple majority’, marilah kita beri kemenangan besar kepada BN. Saya harap dua DUN di Pagoh ini akan menyumbang kepada kemenangan besar BN di Johor,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here