Kerajaan beri subsidi kepada penternak ayam sepanjang tempoh SHMKM

0
14
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Kerajaan bersetuju memberikan subsidi kepada penternak ayam sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) mulai 5 Feb hingga 4 Jun depan.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dalam satu kenyataan hari ini, nilai subsidi yang diberikan adalah sebanyak 60 sen per kilogram (kg) dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 per kg dan harga runcit ayam bulat standard RM8.90 per kg.

Bagi telur ayam pula, nilai subsidi adalah sebanyak 5 sen bagi setiap biji telur semua jenis kategori.

Implikasi kewangan kepada kerajaan bagi melaksanakan pemberian subsidi ayam dan telur di seluruh negara untuk tempoh empat bulan ini adalah dianggarkan sebanyak RM528.52 juta.

Jelas Ronald, pemberian subsidi ini adalah untuk meringankan beban penternak susulan peningkatan kos terutamanya kos makanan yang meliputi 70 peratus daripada kos pengeluaran selain kos logistik, kos pekerja, kos utiliti dan kos ubat-ubatan.

Beliau turut berharap langkah intervensi kerajaan melalui pemberian subsidi kepada penternak dapat menstabilkan kembali bekalan sekali gus memastikan rakyat dapat membeli ayam dan telur dengan harga berpatutan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here