Kerajaan luluskan 4,186 jawatan tetap tambahan bagi KKM

0
18
KHAIRY JAMALUDIN

CYBERJAYA – Kerajaan bersetuju mewujudkan 4,186 jawatan tetap tambahan bagi Kementerian Kesihatan (KKM) pada tahun 2022.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar berkata, lantikan yang akan dibuat mulai Jun depan itu melibatkan 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi.

“Jemaah Menteri juga telah bersetuju supaya sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi diwujudkan di KKM pada setiap tahun mulai tahun 2023 hingga 2025,” kata Khairy Jamaludin dalam satu sidang media, sebentar tadi.

Tambahnya, Jemaah Menteri juga telah bersetuju supaya sebanyak 800 jawatan tetap Pakar Perubatan dan 70 Pakar Pergigian diwujudkan di KKM pada setiap tahun mulai tahun 2023 bagi menampung keluaran pakar perubatan tetap di fasiliti kesihatan di bawah KKM.

“Melalui keputusan terbaharu ini, sekurang-kurangnya 8,686 perjawatan tetap tambahan melibatkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi akan diwujudkan sepanjang tempoh 2022 sehingga 2025,” katanya lagi.

Khairy menjelaskan, keputusan ini diambil berikutan isu penyambungan kontrak pegawai perubatan yang tidak berkesudahan, dan memerlukan penyelesaian kerana dalam jangka masa panjang, isu ini mampu menjejaskan kestabilan sistem kesihatan dan tidak dapat mewujudkan jaminan pekerjaan.

“oleh yang demikian, Jemaah Menteri juga telah bersetuju dengan pelan hala tuju atau roadmap yang sedang dibangunkan oleh KKM bersama agensi dan kementerian yang berkaitan bagi mencari penyelesaian jangka masa pendek, sederhana dan panjang dalam kemelut
berhubung pegawai lantikan kontrak ini,” jelas Khairy Jamaluddin.

Tambahnya, pelan hala tuju itu sedang diperhalusi dan pekembangan mengenainya akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here