Kerajaan tambah baik bantuan banjir untuk PMKS – PM

0
11
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia untuk membantu Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) yang terjejas akibat banjir ditambahbaik dengan pemberian lebih banyak peruntukan kewangan.

Perdana Menteri berkata, susulan itu kerajaan akan memberi geran bernilai RM3,000 melalui TEKUN Nasional kepada setiap perniagaan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir dengan peruntukan disediakan sebanyak RM50 juta.

Beliau berkata, bantuan itu bakal memanfaatkan lebih 15,000 perniagaan mikro dan informal.

“Kedua, dana tambahan RM50 juta akan disediakan melalui Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) di bawah TEKUN Nasional khusus untuk perniagaan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir dengan pinjaman mikro sehingga RM10,000 tanpa faedah di mana tempoh bayar balik adalah sehingga lima tahun dengan moratorium 12 bulan.

“Ketiga, dana sebanyak RM100 juta disediakan melalui Program SME Emergency Fund (SMEEF) di bawah SME Corp. Pinjaman sehingga RM100,000 tanpa faedah dengan tempoh bayar balik sehingga lima tahun dengan moratorium 12 bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya, kerajaan juga menyediakan bantuan untuk sektor pertanian yang mengalami kerugian akibat bencana tersebut.

Ismail Sabri berkata, berikutan itu kerajaan meluluskan bantuan tambahan kepada pengusaha Agromakanan yang terjejas banjir melalui suntikan dana sebanyak RM20 juta untuk Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Di bawah TBTP, pesawah yang mengalami kemusnahan tanaman padi akibat banjir bakal menerima bantuan secara tunai sehingga RM1,800 per hektar dengan had maksimum sehingga tiga hektar.

“Bagi pengusaha pertanian lain pula, RM50 juta tambahan akan disediakan di bawah Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA). Di bawah PPSPA, petani, penternak dan peladang yang terjejas akibat kerosakan banjir, layak untuk memohon untuk bantuan sehingga maksimum 50 peratus daripada jumlah kerugian.

“Kadar dan had bantuan adalah mengikut Garis Panduan tabung tersebut dan diberi dalam bentuk barangan atau in-kind iaitu seperti input pertanian atau peralatan,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here