Kerana kecewa putus cinta, seorang lelaki melecur 96 peratus di badan

0
85
Seorang lelaki terbakar hampir 96 peratus dalam satu kejadian di Jalan Kampung Syed Omar, Kangar di sini,malam tadi

KANGAR – Seorang lelaki yang videonya tular terbakar bersama sebuah kereta di sini dipercayai bertindak membakar dirinya sendiri selepas kecewa dengan teman wanitanya yang mempunyai kekasih lain.

Menurut Ketua Polis Daerah Kangar Superitendan Wari Kiew, dalam kejadian di Jalan Kampung Syed Omar, di sini, malam tadi lelaki berumur 28 tahun itu melecur 96 peratus pada badannya.

Beliau berkata, polis menerima panggilan pada 8.49 malam daripada pekerja kilang papan berusia 38 tahun yang memaklumkan terdapat kereta terbakar serta seorang lelaki di dalam kenderaan berkenaan.

“Seorang orang awam kemudian memberhentikan kereta di belakang kereta yang sedang terbakar dan ternampak seorang lelaki dalam keadaan terbakar pada badan berjalan ke arah keretanya.

“Saksi kemudian keluar dari kereta dan menenangkan lelaki serta memadamkan kebakaran pada badan mangsa sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

“Anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian berjaya memadamkan kebakaran pada kereta mangsa dan mangsa dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan satu, hari ini.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati mangsa berusia 28 tahun dan tinggal di Kangar.

Wari berkata, berdasarkan maklumat daripada bapa mangsa, mangsa adalah seorang pesakit psikiatri yang masih menerima rawatan sebagai pesakit luar di Jabatan Psikiatri HTF.

Beliau berkata, mangsa juga pernah cuba membunuh diri pada bulan lalu dan Selasa lalu sebelum diselamatkan keluarga.

“Punca mangsa cuba membunuh diri dipercayai kecewa dengan tindakan bekas teman wanitanya yang sudah mempunyai kekasih baru,” katanya.

Wari berkata, dalam kejadian semalam, bapa mangsa turut memaklumkan polis bahawa anaknya meminum petrol pada 8.45 malam sebelum keluar rumah menaiki keretanya.

Beliau berkata, bapa mangsa yang berasa curiga membuat laporan di Balai Polis Kangar kerana percaya mangsa cuba membunuh diri sekali lagi.

“Apabila sampai di balai polis, pihak polis memaklumkan menjumpai sebuah kereta dalam keadaan terbakar di atas jambatan Kampung Syed Omar, Kangar.

“Bapa mangsa kemudian pergi ke tempat kejadian dan mengesahkan kereta yang terbakar adalah milik mangsa,” katanya.

Mangsa masih dirawat di HTF dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas melecur 96 peratus pada badannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here