
CYBERJAYA – Khairy Jamaluddin membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendakwa telah memperjuangkan hak penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) kepada Kelantan ketika menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan ketika era Pakatan Harapan.
Khairy yang juga Bekas Menteri Belia dan Sukan ketika era Barisan Nasional (BN) berkata, kenyataan yang dimuatnaik dalam satu hantaran menerusi TikTok Ahli Parlimen Muar itu seolah-olah menteri-menteri sebelumnya menafikan hak negeri tersebut.
“Sewaktu saya menyandang portfolio Menteri Belia dan Sukan dari 2013 hingga 2018, Kelantan pernah ditawarkan untuk menjadi penganjur temasya berkenaan melalui beberapa Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA selepas SUKMA Perlis 2014 berjaya dianjurkan dengan cemerlang.
“Mengikut penggiliran negeri-negeri penganjur, selepas SUKMA Sarawak 2016, hak penggiliran penganjuran akan kembali ke negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan Kelantan yang belum pernah menganjurkan Sukan Malaysia merupakan pilihan.
“Namun, kerajaan Kelantan ketika itu tidak bersedia untuk menganjurkannya atas beberapa kekangan. Malahan, kita juga semasa membuat keputusan SUKMA 2018 kepada Perak dan SUKMA 2020 kepada Johor turut mengalu-alukan agar Kelantan mempertimbangkan untuk menjadi tuanrumah SUKMA 2022 supaya Sukan Malaysia ini dapat dibawa kepada rakyat Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Khairy yang juga Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa Kelantan tidak pernah sesekali dianaktirikan dalam pemilihan sebagai penganjur SUKMA seperti dakwaan yang dibuat.
Malahan, katanya, tiada satu negeri pun yang dianaktirikan sewaktu beliau menerajui Kementerian Belia dan Sukan.
Khairy berkata, pemilihan ini dibuat secara saksama melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dianggotai oleh 14 Exco Belia dan Sukan negeri dan tertakluk kepada kesanggupan dan kesediaan negeri yang dipilih.