
CYBERJAYA – Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) telah melanjutkan perkhidmatan 1,243 penolong pegawai perubatan Gred U29 selepas tempoh kontrak mereka tamat, bermula semalam.
Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Mohd. Shafiq Abdullah berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bersetuju pada penghujung bulan lalu untuk meluluskan pelantikan semula tersebut.

“Pemakluman mengenai pelanjutan kontrak ini telahpun dimaklumkan kepada Ketua Jabatan,” kata Mohd. Shafiq dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kumpulan lantikan itu dalam kalangan graduan Institut Latihan KKM yang tamat kontrak, pada 2 Feb.
Mohd. Shafiq kemudiannya menjelaskan, tawaran pelanjutan kontrak bagi kohort lain yang tamat kontrak pada 2022 akan dibuat secara berfasa sebaik perakuan KKM diluluskan oleh agensi pusat dan SPA.