Kos bahan binaan naik: Kerajaan cadang buka AP import besi, keluli kepada semua

0
70
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) hari ini.

CYBERJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bercadang untuk membuka permit import (AP) besi dan keluli kepada semua sekiranya peningkatan kos bahan binaan itu angkara permainan kartel industri pembinaan.

Perdana Menteri berkata, perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) hari ini.

“Kebimbangan mesyuarat adalah kos bahan binaan seperti besi dan keluli yang semakin meningkat serta penguasaan kartel dalam industri pembinaan.

“Justeru, Menteri Perumahaan dan Kerajaan Tempatan dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) diarah supaya menangani perkara ini. Jika ia berpunca daripada AP, mesyuarat mencadangkan supaya ia dibuka kepada semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat itu juga bersetuju menetapkan hala tuju baharu Program Perumahan Rakyat (PPR) yang mengambil kira keperluan semasa serta memasukkan komponen baharu ke arah menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni.

Sehubungan itu, katanya, pembinaan PPR baharu akan mengambil kira elemen seperti keterhubungan dan akses internet, jaringan hubungan pengangkutan awam serta reka bentuk yang lebih ekonomik dan lebih selesa.

Selain itu, katanya, MPMMN turut membincangkan strategi penyediaan dan pelaksanaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Kerajaan komited memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.

“Oleh itu, KPKT telah memperkenalkan Home Ownership Programme (HOPE) bagi melihat ekosistem yang lebih menyeluruh dalam penyediaan perumahan, pembiayaan perumahan serta program-program yang dapat membantu Keluarga Malaysia dalam pemilikan perumahan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat itu juga mahu supaya Bank Negara melihat kembali model pembiayaan perumahan supaya memudahkan pemilikan perumahan.

Beliau berkata, ini bagi memastikan institusi kewangan mempermudahkan pinjaman untuk B40 dan M40 membeli rumah PPR dan rumah mampu milik.

“Fokus diberi untuk pembelian terus dan rent to own (sewa untuk milik). Semua pihak perlu memainkan peranan supaya sasaran satu keluarga satu rumah dapat direalisasikan.

“Untuk mencapai matlamat ini, kerajaan persekutuan akan memberi subsidi, kerajaan negeri menyediakan tanah manakala bank mempermudahkan pembiayaan bagi memastikan harga rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual dengan harga yang berpatutan,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here