KPT tanggung kos bayaran proses UPUOnline

0
15
Dr. Noraini Ahmad

CYBERJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menanggung sepenuhnya kos bayaran proses permohonan UPUOnline/UNIK ID bagi sesi akademik 2022/2023.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam kenyataan hari ini bagi meringankan beban ditanggung pemohon mengambil kira keadaan semasa pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.

Melalui usaha itu, permohonan untuk kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) boleh dibuat terus di laman web upu.mohe.gov.my.

Beliau berkata, permohonan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM); Asas; Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM); lepasan matrikulasi, diploma dan setarafnya boleh dibuka bermula esok.

“Permohonan kemasukan akan dibuka mulai esok sehingga 31 Mac ini.

“Sehubungan itu, pemohon boleh melayari portal rasmi upu.mohe.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut dan membuat permohonan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Keputusan kerajaan itu katanya diharap akan melancarkan urusan pemohon untuk melanjutkan pengajian seterusnya menjamin masa depan yang lebih cerah.

“Kerajaan dan KPT memahami kekangan dan kesan sekiranya pemohon diwajibkan membeli nombor pin Unik ID di Bank Simpanan Nasional untuk membuat permohonan UPUOnline,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here