Kuman Covid-19 umpama Yakuza, kanak-kanak perlu vaksinasi untuk lawan – jelas doktor pakar keluarga

0
20
Pakar Perubatan Keluarga, Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim

CYBERJAYA – Tanggapan segelintir pihak bahawa kanak-kanak mempunyai sistem antibodi tersendiri untuk melawan penyakit Covid-19 adalah tidak tepat.

Menurut Pakar Perubatan Keluarga, Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim, jika kanak-kanak tersebut tidak pernah dijangkiti Covid-19 dan tidak divaksinkan, mereka tidak mempunyai antibodi spesifik untuk melawan Covid-19.

“Kalau kanak-kanak tak pernah kena Covid-19 dan tidak divaksinkan, mereka tak ada antibodi spesifik untuk melawan Covid-19.

“Dan kita tahu, Covid-19 ni satu kuman yang kuat, umpama Yakuza, umpama Mafia Lord, yang mana kita perlu pasukan khas melawan mereka. “Innate immunity” sahaja tak cukup.

“Sebab itu bila kita kata kanak-kanak dah ada antibodi untuk lawan Covid-19 ni, ianya satu salah faham. Tanpa jangkitan, tanpa vaksinasi, mereka takkan ada antibodi terhadap Covid-19,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Terdahulu, kenyataan Dr Amirul yang dikongsi menerusi laman Facebook milik Kementerian Kesihatan (KKM) yang menegaskan bahawa program vaksinasi kepada kanak-kanak yang dilaksanakan kerajaan ketika ini bukan satu bentuk uji kaji menerima pelbagai maklum balas oleh warga maya.

Malah terdapat pihak yang mendakwa kanak-kanak mempunyai sistem pertahanan badan tersendiri daripada dijangkiti virus Covid-19.

Sementara itu, menjawab mengenai tanggapan banyak pihak kanak-kanak mempunyak antibodi tersendiri, katanya, secara asasnya mereka mempunyai antibodi untuk melawan kuman yang juga dikenali sebagai immunoglobulin (Ig).

Bagaimanapun, jelasnya, antibodi tersebut terdapat dalam beberapa jenis.

“Yang kita nak bincang kat sini adalah IgM dan IgG di mana dua antibodi ni bertindak secara spesifik untuk kuman yang telah dikenalpasti. Contohnya kita dah dijangkiti chicken pox, kita ada IgM dan IgG terhadap kuman chicken pox.

“IgG tahan lebih lama dari IgM. Kalau kuman itu datang balik, IgG ni akan mengikat kuman tersebut dan bantu memusnahkan kuman itu sebelum dia sempat membiak. Sebab itu lah sekali kena chicken pox, insya-Allah tak kena dah.

“Berbalik pada kata-kata kononnya kanak-kanak ada antibodi, saya nak tanya balik, antibodi apa? Terhadap kuman apa? Ya, kanak-kanak ada IgA, yang mana tidak spesifik melawan mana-mana kuman, yang mana ia adalah “innate immunity”.

“Innate immunity ini umpama polis. Mereka boleh lawan penjahat biasa, tapi kalau datang Mafia Lord atau Yakuza yang ganas, polis sahaja mungkin tak cukup, kita kena ada special force tadi. Kita kena aktifkan “adaptive immunity” kita,” ujarnya.

Bagaimanapun, Dr Amirul berkata, adaptive immunity hanya boleh terhasil selepas terdedah kepada jangkitan atau vaksinasi.

Katanya, vaksinasi adalah jalan yang lebih selamat untuk menghasilkan sistem pertahanan itu tanpa membiarkan kuman hidup Covid-19 berada di badan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here