
CYBERJAYA – Kumpulan Malakat Eco bercadang untuk membawa masuk bekalan ayam dari Turki sebagai menampung kekurangan bekalan makanan itu di dalam negara.
Presiden Malakat Eco, Mohd Fadzil Hashim berkata, beliau akan menggunakan keberadaan rangkaian perniagaannya di Turki ketika ini bagi mendapatkan bekalan pada harga terbaik untuk pasaran tempatan.
Beliau berkata, usaha itu juga diharap dapat memberi keyakinan kepada pengguna khususnya umat Islam yang menitikberatkan soal halal.
“Malaysia Tak Cukup Ayam! Dengar berita Malaysia kekurangan Ayam dan kerajaan akan meluluskan permit import Ayam.
“Saya cuba usaha untuk bawak masuk Ayam dari Negara Turkiye!,” katanya melalui hantaran di Facebook hari ini.
Beliau yang berada di Turki sejak tahun lalu kini dalam usaha meluaskan rangkaian perniagaan Kumpulan Malakat Eco seperti Brainy Bunch, Malakat Grocer dan Tea Amo.
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan akan membawa masuk ayam beku dari luar negara bagi menampung kesuntukan bekalan di dalam negara.
Mengulas lanjut, Mohd Fadzil berkata, sekiranya usaha itu menjadi kenyataan, bekalan ayam dari Turki yang merupakan negara pengeksport ayam ke China itu akan mengelak keraguan dalam kalangan pengguna.
“Asyik import dari mereka yang tidak beriman jer. Kita masih ragu2 nak makan!
“Doakan kawan2 agar Allah mudahkan usaha ini!,” katanya.
Hantaran itu menerima komen daripada orang ramai yang mengharapkan Kumpulan Malakat Eco akan menjadi pemain baharu dalam pembekalan ayam di negara ini.
“Kalau frozen yg individually packed dan berlabel lagi bagus boss. Confirm fresh dan tiada was2. Dulu kes lembu ada rumours tukar packaging bagai. Kasi naik standard kita,” komen Zawiyah Kaderi.
“Sangat sangat high demand.. semoga jadi in shaa Allah!,” komen Syed Muhammad.