Laporan diberikan kepada Muhyiddin atas kapasiti sebagai Pengerusi MPN – jelas Tengku Zafrul

0
96
Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz

CYBERJAYA – Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz menjelaskan laporan yang diberikannya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah di atas kapasiti bekas Perdana Menteri itu sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Beliau berkata, laporan itu diberikan kepada sekretariat MPN, seperti mana laporan-laporan lain yang diberikan kepada Kabinet tanpa mengira daripada mana-mana parti.

“Sebagai Pengerusi MPN, beliau memerlukan laporan-laporan tersebut untuk mengambil keputusan yang tepat dalam membantu Perdana Menteri membawa Malaysia ke arah pemulihan pasca-Covid-19.

“Malahan, fakta-fakta ekonomi yang ada di dalam laporan tersebut merupakan fakta yang telah saya sebut berulang kali kepada Kabinet dan sesiapa sahaja orang awam.

“Saya tidak pernah sorok, baik melalui kenyataan media, ulasan saya dalam forum-forum, jawapan-jawapan parlimen dan laporan-laporan agensi seperti Bank Negara, Jabatan Statistik dan sebagainya,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, sejak tahun lepas, beliau telah mengangakat isu mengenai Akta Tanggungjawab Fiskal, untuk mengelakkan isu-isu seperti 1MDB, SSER dan sebagainya dari berlaku lagi.

Malah, katanya, isu berkaitan juga telah dijelaskan menerusi beberapa artikel yang diterbitkan melalui beberapa media tempatan pada 5 Februari lalu.

“Umum tahu keadaan ekonomi negara buat masa ini, terutamanya selepas kesan negatif yang dibawa oleh Covid-19. Namun seperti yang saya sebut, fokus utama kita sekarang adalah untuk memacu pemulihan negara agar rakyat dapat kembali hidup dengan selesa.

“Menjana pekerjaan, membawa pelaburan, membantu perniagaan adalah antara banyak strategi yang telah kita rancang untuk memacu pemulihan ini melalui dua tunggak utama iaitu JaminKerja dan SemarakNiaga dalam Bajet 2022.

“Saya berharap kita dapat terus memberi keutamaan yang paling penting kepada pemulihan ekonomi untuk rakyat.

“Kita berada di atas landasan yang betul di mana aktiviti ekonomi, baik dari perspektif makro, perniagaaan atau individu sedang beransur pulih dengan pantas berdasarkan indikator-indikator seperti pasaran kerja dan sebagainya.

“Saya yakin kita dapat pulih mengikut perancangan dan menjana ekonomi sekaligus terus membawa keyakinan kepada pelabur untuk terus datang ke Malaysia,” katanya.

Kelmarin dalam satu ceramah Perikatan Nasional sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Muhyiddin mendakwa keadaan ekonomi negara tidak seperti yang digambarkan oleh kerajaan sekarang.

Malah Ahli Parlimen Pagoh itu juga mahu membocorkan kedudukan kewangan negara selepas menerima laporan daripada Tengku Zafrul pada 17 Februari lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here