
CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota yang membawa gelaran Datuk kepada jaguh lompat jauh negara, Abdul Latif Romly.
Beliau antara 263 penerima yang dianugerahkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan (DKBPWP) sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022 di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Latif merupakan atlet Sukan Paralimpik Olahraga yang telah memenangi pingat emas dalam Sukan Paralimpik Musim Panas 2016 di Rio de Janeiro dan berjaya mempertahankan pingat emas itu dalam temasya sama di Tokyo tahun lalu.
Dalam pada itu, turut menerima darjah kebesaran bagi mengiktiraf sumbangan ahli sukan negara ialah pemenang pingat emas di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi.
Mohamad Ridzuan Atlet Para (Lelaki) Terbaik Asia 2018 dianugerahi Darjah Kebesaran Johan Mahkota Wilayah.
Selain itu, dua wira badminton negara iaitu Aaron Chia Teng Fong dan Soh Wooi Yik yang memenangi pingat gangsa dalam acara beregu lelaki di Sukan Olimpik Tokyo 2020 telah dikurniai Darjah Kebesaran Kesatria Mahkota Wilayah.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad mendahului senarai penerima dengan Darjah Kebesaran Seri Utama Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Penganugerahan itu merupakan pengiktirafan kepada sumbangan besar Johor terhadap kemajuan Wilayah Persekutuan dan peranan penting yang dimainkan beliau dalam melaksanakan pelbagai inisiatif yang merancakkan pemulihan ekonomi negara dan memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia.
Menerusi Iskandar Regional Development Authority (IRDA) yang dipengerusikannya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menerajui anjakan strategi dalam pengurusan pandemik Covid-19 Johor dengan mengadakan pelbagai program pembangunan sosial termasuklah program bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan perniagaan.
Di samping itu, beliau juga telah mengambil langkah-langkah yang proaktif bagi mengekalkan iklim pelaburan di Johor supaya sentiasa mesra perniagaan dan menjadikan Malaysia sebagainlokasi terpilih kepada pengeluar produk global yang utama.