Lebih 460,000 penganggur dapat kerja menerusi portal MYFutureJobs

0
15
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Portal MYFutureJobs yang dibangunkan oleh Kementerian Sumber Manusia telah berjaya menempatkan lebih 465,379 pencari kerja dengan pekerjaan baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kira-kira 57,791 orang perantisan yang terdiri daripada golongan pelajar dan graduan telah berjaya mendapatkan pekerjaan.

“Kewujudan portal pekerjaan negara ini memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan aktiviti pasaran buruh kekal aktif dan saling menyokong implementasi program dan inisiatif lain seperti Program Penjana Kerjaya ketika tempoh pandemik ini.

“Saya juga mengharapkan penglibatan aktif daripada semua pihak termasuk pelbagai institusi daripada Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan dan Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk menggalakkan lebih ramai pelajar dan graduan baharu mendaftar dengan Portal MYFutureJobs,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pencari kerja yang ingin mendapatkan perkhidmatan padanan pekerjaan boleh menghadirkan diri terus ke pusat-pusat MYFutureJobs di seluruh negara seperti di Pejabat PERKESO, Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan juga Pusat Satelit MYFutureJobs di kawasan luar bandar dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, lebih membanggakan apabila portal tersebut turut berjaya mendapatkan pekerjaan kepada seorang bapa berusia 45 tahun selepas majikan lamanya menutup operasi.

“Sudah pasti tiada siapa menyangka bahawa seorang bapa berumur 45 tahun yang kehilangan pekerjaan akibat penutupan syarikat, akan berjaya mendapatkan pekerjaan menerusi Portal MYFutureJobs.

“Walaupun pada awalnya beliau sendiri tidak yakin akan diterima bekerja semula, ditambah pula dengan cabaran menjaga tiga anak remaja tanpa isteri yang telah meninggal dunia, beliau akhirnya berjaya diterima bekerja sebagai Senior Site Supervisor.

“Bapa yang dikenali sebagai Encik Soo itu merupakan seorang daripada beribu ahli Keluarga Malaysia yang telah berjaya dibantu oleh kerajaan untuk ditempatkan semula ke bidang pekerjaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here