Lelaki lakukan aksi wheelie bersama kanak-kanak perempuan ditahan polis

0
75
Tangkap layar video seorang lelaki membuat aksi wheelie bersama seorang kanak-kanak dipercayai anaknya.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang membuat aksi ‘wheelie’ motosikal bersama seorang kanak-kanak perempuan telah ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Wahid berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditajan pada pukul 3 petang.

Beliau berkata, penahanan itu dibuat berdasarkan video aksi berdurasi 36 saat melibatkan lelaki berusia lingkungan 20-an berkenaan pada jam 3 petang.

“Aksi menunggang motosikal secara berbahaya itu telah dibuat di Jalan Bukit Impian 1, Taman Impian Emas di sini. Tujuan aksi itu dibuat adalah untuk meraih perhatian warganet.

“Aksi tersebut dirakamkan sendiri oleh suspek dengan menggunakan telefon bimbitnya melalui pertolongan rakannya sebelum dimuatnaik ke laman Facebooknya iaitu Hafiz Sim pada 15 Februari lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Rupiah, video itu turut memaparkan suspek menunggang sebuah motosikal jenis Honda Ex5 bersama seorang kanak-kanak perempuan yang membonceng di bahagian hadapan motosikal dengan membuat aksi wheelie iaitu mengangkat tayar hadapan.

Rupiah berkata, sebanyak tiga saman telah dikeluarkan melibatkan kesalahan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikuti spesifikasi, tidak memakai topi keledar dan cukai jalan tamat tempoh.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana jika sabit kesalahan seseorang itu boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi RM15,000.

“Manakala jika ini adalah sabitan kedua, suspek juga boleh dikenali hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here