LHDN tandatangani MoU bersama CGSO, mantapkan aspek keselamatan perlindungan

0
85
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LHDN, Wan Ramiza Wan Ghazali dan Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan, Pejabat CGSO, Rahimi Ismail menandatangi MoU di sini hari ini.

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai tanda persetujuan untuk menjalinkan kerjasama strategik dan persefahaman bersama dalam memperkukuhkan aspek pematuhan keselamatan perlindungan.

Menurut LHDN, MoU berkenaan ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LHDN, Wan Ramiza Wan Ghazali dan Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan, Pejabat CGSO, Rahimi Ismail dengan disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Rakon.

“MoU yang ditandatangani akan memberikan tumpuan kepada dua inti pati utama iaitu meningkatkan tahap keselamatan perlindungan di LHDN melalui inspektorat secara dalaman oleh LHDN dan inspektorat anugerah khas oleh Pejabat CGSO dan meningkatkan ilmu pengetahuan dan kesedaran keselamatan perlindungan di LHDN melalui program kursus dalaman dan luaran Pejabat CGSO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Rahimi berkata, faktor keselamatan merupakan antara tonggak penting yang menjadi asas kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

Katanya, MoU yang ditandatangani dijangka akan membantu dalam peningkatan bilangan agensi yang mencapai tahap keselamatan perlindungan keselamatan yang cemerlang di Malaysia.

“Kerajaan Malaysia secara keseluruhannya juga akan mendapat manfaat yang besar dalam meningkatkan kesediaan dan daya saing agensi kerajaan yang mempunyai tahap keselamatan yang betul dan berdaya tahan terutamanya dalam situasi yang tidak menentu ketika ini.

Sementara itu, Wan Ramiza berkata, dengan termeterainya memorandum itu LHDN akan menerima manfaat kepakaran dan ilmu pengetahuan yang dikongsikan oleh CGSO, seterusnya meningkatkan lagi tahap keyakinan pembayar cukai terhadap LHDN dengan pemantapan aspek keselamatan perlindungan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here