Mahkamah arah akaun Najib dibeku

0
58
Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah injunksi Mareva ex-parte kepada 1MDB dan subsidiarinya untuk membekukan aset milik Datuk Seri Najib Razak atau ejennya berkaitan tuntutan syarikat itu terhadap AS$681 juta yang didakwa disalurkan ke akaun peribadi bekas perdana menteri itu.

Permohonan ex-parte yang diberikan pesuruhjaya kehakiman Atan Mustaffa Yussof Ahmad semalam hanya membenarkan Najib mengeluarkan tidak lebih RM100,000 sebulan daripada akaun banknya untuk perbelanjaan, menurut laporan The Edge yang dipetik oleh Astro Awani.

Injunksi Mareva adalah perintah pembekuan atau perlindungan aset yang menghalang defendan atau responden daripada mengalihkan asetnya, yang mungkin termasuk wang dalam bank atau institusi kewangan, ketika proses perundangan sedang berjalan.

Perintah tersebut hanya untuk Najib walaupun saman 1MDB tersebut turut menamakan bekas pengarah dan ahli lembaga penasihat yang lain.

Najib perlu membuat permohonan kepada peguam cara 1MDB jika dia perlu mengeluarkan wang lebih daripada RM100,000 sebulan, seperti yang dinyatakan mahkamah.

Antara sebab 1MDB dan subsidiarinya membuat permohonan tersebut adalah berikutan sabitan terhadap Najib dalam kes rasuah SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Pada Julai 2020, Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas disabitkan bersalah bagi tujuh pertuduhan jenayah dalam kes membabitkan SRC International Sdn Bhd.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan itu. 

Kes itu akan didengar di peringkat Mahkamah Persekutuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here