Malakat Mall akan jadi pusat penganjuran acara komuniti

0
23
Pameran kereta Mini klasik sempena Program Vesparudin di Malakat Mall.

CYBERJAYA – Pusat beli-belah Malakat Mall di sini akan dikembang menjadi mall berkonsepkan komuniti yang padat dengan penganjuran acara menarik dan mesra keluarga.

Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Affandi Hamzah berkata, dengan segala kemudahan yang dimiliki pihaknya sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk memanfaatkan kewujudan mall itu sebagai lokasi penganjuran dan pengembangan perniagaan.

“Insyallah kami akan menganjurkan lebih kerap acara yang dapat mengumpul penglibatan ahli komuniti sama ada usahawan, persatuan, kelab, peminat hobi ataupun agensi kerajaan.

“Usaha ini bertepatan dengan tujuan penubuhan mall ini sebagai pusat pengembangan perniagaan usahawan yang menyediakan persekitaran yang selesa kepada pengunjung seisi keluarga,” katanya pada acara Vesparudin yang berlangsung di Malakat Mall, Cyberjaya, semalam.

Hadir sama Penyelaras Acara Kumpulan Malakat Eco, Noor Herdawaty Zakaria.

Affandi Hamzah.

Mengulas acara yang menghimpunkan peminat Vespa, kereta mini dan motosikal berkuasa tinggi dari seluruh negara itu, Affandi bersyukur dan berpuas hati dengan perjalanan acara selama dua hari itu.

Katanya, selain berjaya mengumpulkan komuniti peminat motosikal, pencinta muzik dan barang antik, pelukis dan sebagainya di dalam satu acara, penganjuran itu juga berjaya memeriahkan ‘scene’ Food Street di Malakat Mall.

“Sebelum ini kami menganjurkan acara BMX yang mendapat sambutan cukup hebat dan kini kita meluaskan lagi tapak acara melalui Vesparudin.

“Acara seperti ini secara tidak langsung memperkenalkan Malakat Mall kepada kelompok baharu terutama dari luar Lembah Klang untuk datang menyokong perniagaan ini,” katanya.

Pameran kereta Mini klasik sempena Program Vesparudin di Malakat Mall.
Pameran Vespa sempena Program Vesparudin di Malakat Mall.

Affandi berkata, untuk penganjuran dalam masa terdekat, pihaknya telah merancang beberapa lagi acara antaranya demonstrasi penghasilan baja kompos oleh DIY Malaya pada 5 Mac, acara bersama Pencetus Ilham Cinta Watan (5 Mac) dan pameran Jabatan Hal Ehwal Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 26 Mac ini

“Pameran bersama veteran TLDM itu juga akan melibatkan persembahan pasukan Paskal, kawad senyap, pameran produk vetaran dan pameran aset TLDM.

“Sama-samalah kita doakan segala yang pelik dan unik akan berlangsung dengan jayanya di Malakat Mall ini,” katanya.

Dalam pada itu, Affandi yang mewakili warga Malakat Mall mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak terlibat menjayakan program itu.

“Terima kasih kepada seluruh warga Malakat, penganjur bersama dan semua yang bekerja keras menjayakan acara selama dua hari ini.

“Alhamdulillah saya berkenalan dengan ramai kawan dan banyak pihak dalam acara Vesparudin yang julung-julung kali diadakan ini.

“Insyallah kami akan cuba buat yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu beliau juga mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pemilik bangunan iaitu Setia Haruman atas kerjasama membenarkan kegunaan ruang legar Malakat Mall.

Penunggang motosikal berkuasa tinggi yang menyertai acara Vesparudin di Malakat Mall.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here