
CYBERJAYA – Pusat beli belah Malakat Mall di sini bergema dengan bacaan selawat, doa dan zikir munajat sempena Majlis Selawat dan Munajat malam tadi.
Majlis tersebut yang bermula pada pukul 6 petang dimulakan dengan bacaan Ratib Al-Attas dan diikuti dengan solat magrib secara berjemaah yang diimamkan oleh Pengetua Brainy Bunch International Islamic Montessori School (BBISKL), Samsudeen Abd Aziz.
Yang hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Malakat Eco dan Brainy Bunch, Adzhar Mohd Noor; Penasihat Syariah Malakat Eco, Ustaz Masridzi Sat; Pencetus Ilham Cinta Watan, Walid Ibrahim al-Malik; Maulana Wan Tahir dan Setiausaha Agung Pembela, Mahmud Hishamuddin.

Majlis tersebut yang diteruskan dengan bacaan Mawlid Melayu dan Mahal Qiyam turut dimeriahkan dengan kehadiran pelajar dari beberapa sekolah tahfiz dari Lembah Klang.

Dalam pada itu, Ustaz Masridzi dalam ceramahnya menggesa umat Islam supaya mencontohi keperibadian Rasulullah, para sahabat, tokoh Islam dan pahlawan Melayu terdahulu dalam menyebarkan dakwah sehingga Nusantara turut mendapat cahaya hidayah.
Malah, katanya, pahlawan Melayu dahulu juga tidak gentar berhadapan dengan penjajah dan tidak takut mati demi agama Islam.
“Mereka tak takut mati untuk tinggikan Islam, tapi nasib malang kita sekarang apabila Islam agama persekutuan, pemimpin orang Islam, ini tanah Melayu milik orang Islam tapi berapa peratus dapat kepada kita?

“Di Palestin pun umat Islam dihambat, di tanah kita pun tak kurang juga dirembat sebab jati diri leluhur kita yang tak takut penjajah tiada dalam diri, kita bukan takat takut tapi menyembah penjajah.
“Sanggup gadai segala kepentingan yang akhirnya dapat pada bangsa lain. Sebab itu tak hairan sekarang payah nak bangunkan usahawan Islam,” katanya.
Ustaz Masridzi berkata, sebagai contoh ketika seluruh negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai usahawan Islam terutamanya yang berniaga kecil-kecilan jatuh muflis.
Namun, katanya, nasib berbeza dinikmati usahawan berskala besar terdiri daripada pemilik rangkaian pasar raya besar dan kilang besar yang dibenarkan beroperasi walaupun ketika ‘lockdown’ dilaksanakan.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya umat Islam semua bersatu dalam mengembalikan semula kehebatan Islam khususnya di Malaysia.