
CYBERJAYA – Malakat Mall dan rangkaian perniagaan Malakat Eco dibina sebagai model perniagaan untuk mengangkat ekonomi Islam dan membawa ummahnya keluar daripada cengkaman kapitalis.
Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Malakat Eco dan Brainy Bunch, Adzhar Mohd Noor berkata, Malakat Mall sebagai sebuah pusat beli-belah dibangunkan secara strategik sebagai platform untuk usahawan Islam dan Bumiputera memasarkan produk ke peringkat yang lebih tinggi.
Beliau berkata, misi utama yang menjadi tunjang perniagaan kumpulan Malakat sejak daripada awal adalah untuk menyelesaikan masalah kekurangan akses usahawan dalam pasaran komersial yang dikuasai bangsa asing.
“Malakat Mall ini dibuka dari inspirasi Rasulullah membuka pasar selepas berhijrah ke Madinah untuk ‘keluar’ dari sistem riba kaum Yahudi ketika itu.
“Ia bukan sekadar sebuah pasar tapi sebagai tempat untuk kita umat Islam berkumpul bersama-sama menguatkan ukhwah dan kuasa ekonomi,” katanya pada Majlis Selawat dan Munajat di Malakat Mall di sini malam ini.

Hadir sama Penasihat Syariah Malakat Eco, Ustaz Masridzi Sat; Pencetus Ilham Cinta Watan, Walid Ibrahim al-Malik; Maulana Wan Tahir dan Tuan Mahmud dari Pembela.
Majlis yang bermula dengan solat magrib dan bacaan Mawlid Melayu dan Mahal Qiyam itu dimeriahkan dengan kehadiran pelajar dari beberapa sekolah tahfiz dari Lembah Klang.

Azhar berkata, sebagai peneraju dalam pembangunan eko-sistem ekonomi Islam, Malakat Mall yang mula beroperasi pada Mac 2020 telah memulakan langkah dengan memperkenalkan jenama perniagaannya sendiri.
Antaranya Malakat Grocer yang berkembang sebagai rangkaian pasar raya komuniti; Tea Amo sebagai produk minuman berasaskan teh popular; butik kasut (Jojo Shoes), butik beg kasual (Himawari), kedai alat tukis, alat permainan, rangkaian outlet restoran dan banyak lagi.
Kata beliau, melalui platform pasar raya seperti Malakat Grocer, kumpulan Malakat kini menjadi pusat perhimpunan kira-kira 1,500 produk milik usahawan tempatan.
Selain itu katanya, sebuah perniagaan yang tidak berpaksikan keuntungan, pihaknya turut ‘mengagih dan memulangkan kekayaan’ daripada perniagaan melalui pembayaran dividen kepada pembeli syer KoPPIM.
Namun kata beliau, usaha untuk memperkukuhkan lagi Malakat Mall sebagai alat pembangunan ekonomi Islam tidak mungkin berjaya tanpa sokongan dari orang Islam sendiri.
“Orang Melayu menguasai kira-kira 60 peratus daripada kuasa membeli di negara ini tetapi selagi kita tunduk kepada perniagaan yang dikuasai orang asing kita tidak akan berjaya dalam cita-cita kita,” katanya.
Justeru katanya, beliau menyeru umat Islam untuk terus mendoakan dan memberi sokongan kepada kumpulan perniagaan Malakat untuk terus berkembang.
“Kami bangunkan pasar raya ini tanpa pinjaman dari bank atau bantuan dari kerajaan.
“Ia bukanlah sesuatu yang mudah dan sekiranya ia tidak dibantu umat Islam saya tidak tahu siapa lagi,” katanya.
Ujar beliau, selain sokongan daripada individu pihaknya juga mengharapkan organisasi besar seperti sekolah tahfiz, yayasan dan NGO berbelanja di Malakat Mall.
Majlis yang turut disiarkan secara langsung di Facebook Malakat Mall itu dijadualkan berakhir pada pukul 10.30 malam.