Malakat Mall Masjid Tanah kena keluar

0
1437
Malakat Mall Masjid Tanah.

CYBERJAYA – Selepas hampir setahun beroperasi di Masjid Tanah, Melaka pusat beli belah, Malakat Mall di sini terpaksa menutup operasi dan berpindah ke lokasi lain selepas pemilik bangunan tersebut, Mara Inc. mahu mengambil alih semula premis tersebut.

Presiden Kumpulan Malakat Eco, Mohd. Fadzil Hashim berkata, pihaknya kini sedang mencari premis baharu bagi Malakat Mall meneruskan operasi.

Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim
Coach Fadzil

“Kita tidak akan tutup operasi, tetapi berpindah ke lokasi lain dalam masa terdekat,” katanya yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil dalam sesi live yang disiarkan di laman Facebook miliknya, sebentar tadi.

“Kita akan berpindah ke lokasi yang lebih kecil supaya operasi dapat diteruskan bagi pelanggan dan penyokong kami,” katanya lagi.

Jelas Coach Fadzil, walaupun berdepan kemungkinan mengecilkan operasi, beliau tidak akan membuang pekerja pasar raya berkenaan seramai kira-kira 100 orang.

“Jika saya tutup, kerisauan saya mereka nak kerja di mana, saya tak sanggup nak berhentikan mereka,” kata Coach Fadzil lagi.

Beliau pada masa yang sama turut memohon maaf kerana tak dapat meneruskan operasi di Masjid Tanah.

“Apa yang terjadi saya ambil sebagai satu pengajaran. Kami akan terus berjuang,” kata Coach Fadzil lagi.

Sementara itu, Coach Fadzil berkata, beliau yang kini berada di Turkiye atas urusan perniagaan akan pulang ke tanah air pada bulan hadapan dan akan terus ke Masjid Tanah untuk bersama-sama penyokong Malakat Mall yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan dokongan untuk mereka terus berjuang dalam memartabatkan ekosistem ekonomi Islam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here