Pemain perseorangan ketiga negara Tara Shah

KUALA LUMPUR – Skuad badminton wanita negara terus mencipta kejutan dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) apabila berjaya membenam cabaran pasukan India dengan keputusan 3-2 sebentar tadi.

Kemenangan kedua berturut-turut itu sekali gus melayakkan skuad negara melangkah ke peringkat separuh akhir dan muncul juara Kumpulan Y.

Lebih membanggakan, apabila kejayaan itu turut mengesahkan tiket secara automatik ke pusingan akhir Piala Uber 2022 di Bangkok, Thailand, Mei depan.

Terdahulu, pemain perseorangan utama wanita, S Kisona berjaya menyumbang mata pertama buat Malaysia apabila menang ke atas Aakarshi Kashyap 21-16, 18-21, 21-16.

Rentak kemenangan itu diteruskan oleh gandingan beregu Pearly Tan-Valeree Siow yang mudah menundukkan Kushi Gupta-Mehreen Riza 21-1, 21-6 untuk skuad negara selesa di depan 2-0.

Bagaimanapun, pemain perseorangan kedua, Siti Nurshuhaini Azman yang beraksi cemerlang semalam apabila membantu negara menewaskan Jepun 3-2 tewas di tangan Ashmita Chaliha 11-21, 19-21.

Kemenangan skuad negara diperoleh menerusi beregu kedua, Teoh Mei Xing-Anna Cheong yang berjaya menundukkan Arul Bala Radhakrishnan-Nilla Valluvan 21-10, 21-12.

Hasrat Malaysia meraih mata keempat tidak kesampaian apabila perseorangan ketiga, Myisha Mohd Khairul tewas di tangan Tara Shah 16-21, 15-21.

Selaku juara kumpulan Malaysia dijangka dapat mengelak daripada bertemu Korea Selatan yang dilabel sebagai pilihan utama kejohanan.

Korea yang sudah merakam kedua kemenangan setakat ini dilihat tidak berdepan masalah untuk menewaskan Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan Z sekali gus turut muncul juara kumpulan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here