
SHAH ALAM – Skuad badminton lelaki negara berjaya merangkul gelaran sulung pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 selepas menewaskan Indonesia dengan keputusan 3-0 sebentar tadi.
Skuad negara bermula dengan langkah kanan selepas jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menyumbang mata pertama pasukan selepas menundukkan Chico Aura Dwi Wardoyo 14-21, 21-12, 21-10.
Rentak kemenangan negara diteruskan oleh beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dengan keputusan 17-21, 21-13, 21-18.
Mata kemenangan Malaysia disumbangkan oleh perseorangan kedua, Ng Tze Yong yang mudah menewaskan cabaran perseorangan kedua Indonesia, Leonardo Imanuel Rumbay 21-14, 21-15.
Pencapaian terbaik skuad negara sebelum ini adalah mara ke perlawanan akhir di Manila, dua tahun lalu namun tewas di tangan Indonesia 1-3.
Indonesia tampil dalam aksi final itu sebagai juara bertahan sebanyak tiga kali berturut-turut.
Pasukan musuh tradisi itu menjuarai kejohan tersebut bermula edisi pertama pada 2016 di Hyderabad, 2018 di Kedah dan 2020 di Manila.