‘Mana pejuang Melayu, ini masa sokong perjuangan kita’ – kata Coach Fadzil selepas Malakat Mall diarah keluar dari bangunan Masjid Tanah

0
1425
Coach Fadzil

CYBERJAYA – Kumpulan Malakat Eco menyambut baik sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mahu berunding supaya Malakat Mall di Masjid Tanah terus beroperasi seperti biasa.

Presidennya, Coach Mohd Fadzil Hashim berkata, bagaimanapun pihaknya tidak mampu untuk membayar kadar sewa yang mencecah sehingga RM70,000 sebulan yang disifatkan sangat membebankan dalam suasana ekonomi sekarang.

“Kita tak nak belasah Mara atau siapa-siapa, kalau nak kita boleh saja buat tapi kita dah bawa bincang dan buat surat pada Ketua Menteri dan Datuk Ab Rauf Yusoh untuk cuba bantu, cuma perkara ini belum sampai ke pengetahuan menteri.

“Pihak Mara Inc masih bertegas bahawa itu adalah benda (arah keluar) yang sepatutnya mereka lakukan kepada kami. Kami perlu membayar kadar sewa sebanyak RM70,000 untuk tahun kedua, RM90,000 untuk tahun ketiga dan kadar itu semakin naik bukan makin turun. Pihak Mara Inc beritahu mereka telah belanja macam-macam.

“(Sebenarnya) kita ingat nak beli (bangunan Malakat Mall Masjid Tanah) pada tahun kedua selepas kita ‘raised fund’ tapi pandemik berlaku dan kita tandatangan perjanjian semasa pandemik berlanjutan.

“Ada orang persoal, kenapa sign dan setuju bayar? Sudah pasti adat berniaga memang sepatutnya begitu namun ada pihak terkejut apabila kami dedahkan kadar sewaan berkenaan kerana kadar sewa ditawarkan hanya sekitar RM25,000 dan sebab itu mereka terkejut kita kena bayar banyak itu.

“Kami bukan penggemis, ini negara kita, kita orang Melayu, tak kan jadi pengemis di negara sendiri. Siapa yang nak bantu dan laung pejuang Melayu, inilah masanya,” katanya dalam rancangan siaran langsung program Sokong Usahawan Kita yang disiarkan melalui Facebook semalam.

Dalam pada itu, Coach Fadzil turut melahirkan penghargaan di atas sokongan pelbagai pihak selepas mendapat berita Malakat Mall perlu keluar dari bangunan tersebut.

Menjelaskan situasi berkenaan, Coach Fadzil berkata, secara dasarnya mereka belum keluar lagi dan belum ada notis arahan keluar namun jika pihaknya masih belum melunaskan kadar sewaan itu pihak Mara Inc secara berterusan akan mengenakan bayaran mengikut kadar sewaan ditetapkan.

“Kita tak mampu, kalau terus charging matilah kita, kita kalau dah keluar kita tak kembali lagi.

“Selagi mana belum keluar atau menteri kata jangan keluar, dan bagi kita masa, Malakat akan come back dengan proposal baharu. Tunggu saya balik bulan Mac ini untuk kita selesaikan. Kalau tak boleh tunggu kita akan teruskan (keluar).

“Tapi untuk panjat pejabat menteri dan merayu dan menangis itu bukan kita, bukan nak tunjuk kita berlagak tapi kita orang berniaga,” tegasnya.

Sementara itu, Coach Fadzil menegaskan meskipun dipaksa keluar dari bangunan tersebut, pihaknya akan tetap meneruskan perjuangan di Masjid Tanah.

Beliau berkata, ini kerana Malakat Mall telah mempunyai pelanggan yang setia dan sebagai menghargai semangat semua penyokong, pihaknya berjanji akan kembali lebih kuat di masa hadapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here