Maritim Malaysia Perlis rampas ganja bernilai RM150,000

0
16
Pegawai Maritim Malaysia Zon Kuala Perlis menunjukkan lokasi rampasan ganja seberat 30 kg di perairan Kuala Perlis, semalam.

KUALA PERLIS – Agensi Penguatkuasaan Maritim Zon Kuala Perlis berjaya merampas 30 kilogram ketulan ganja mampat bernilai kira-kira RM150 ribu yang cuba diseludup dari Thailand pada kedudukan 2.26 batu nautika Barat Laut muara Kuala Perlis sekitar jam 1.42 pagi, semalam.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksama Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata,
rampasan dibuat hasil maklumat risikan dan intipan berterusan oleh pasukan operasi yang mengesan pergerakan sebuah bot fiber di perairan Kuala Perlis dipercayai dari sempadan Thailand dalam keadaan gelap serta mencurigakan.

Beliau berkata, bertindak kepada siasatan itu, Zon Maritim Kuala Perlis mengatur gerak aset laut beserta pasukan operasi ke lokasi bagi memintas dan menyerbu bot berkenaan.

“Menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia di lokasi, dua suspek yang disyaki membawa ganja tersebut bertindak membuang satu bungkusan plastik berwarna hitam ke laut dan menukar haluan dengan berpatah balik menuju ke arah sempadan Thailand bagi melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan ke atas bungkusan plastik hitam yang dibuang telah menemukan bungkusan guni plastik berwarna merah mengandungi 30 ketulan ganja mampat dengan anggaran berat 30 kilogram bernilai RM150 ribu dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketulan ganjq mampat yang dibuang ke laut oleh penyeludup.

Mohd Zawawi berkata, kesemua ketulan ganja mampat dengan anggaran berat sekilogram setiap satu itu diikat dalam bentuk segi empat dan dibalut kemas dengan plastik putih.

Semua hasil rampasan dibawa ke Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi siasatan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here