
KUALA LUMPUR – Menara Telekom Malaysia (TM) yang terletak di pusat koridor Kuala Lumpur (KL) Sentral-Bangsar diiklan untuk dijual.
Bangunan dengan ketinggian 55 tingkat milik TM itu diiklankan untuk dijual dalam satu iklan yang disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini, lapor Berita Harian.
Menara TM yang menjadi struktur bangunan ikonik di ibu negara dengan 55 tingkat itu ditawarkan pada harga yang tidak didedahkan.
Tarikh tutup peringkat pertama bagi jualan Menara TM adalah pada jam 12 tengah hari pada 18 Mac ini.
Menurut iklan berkenaan, Menara TM yang dibina sebagai bangunan pejabat lengkap dengan helipad menawarkan menara pejabat berkeluasan 989,000 kaki persegi, pusat konvensyen seluas 92,431 kaki persegi, dewan pelbagai guna, kompleks sukan, klinik, pusat fisioterapi, pusat jagaan kanak-kanak dan masjid.
Menara berkenaan dibina dengan kos sekitar AS$160 juta (RM669.3 juta) juga memiliki lebih 1,700 lot parkir turut terletak berhampiran infrastruktur sokongan seperti laluan pejalan kaki serta Stesen LRT Kerinchi dan Universiti.
Bangunan yang ketika ini menjadi ibu pejabat TM itu terletak berhampiran dengan KL Sentral, Mid Valley City, KL Eco City dan Bangsar South.
Menara TM memiliki status MSC iaitu simbol kepada perkhidmatan berkelas dunia yang dianugerahkan oleh kerajaan.
WTW Real Estate Sdn Bhd adalah ejen pemasaran eksklusif bagi menara ke-10 tertinggi di Malaysia itu.