
CYBERJAYA – Menu istimewa Nasi Kapau akan muncul pada hujung minggu ini di Malakat Mall.
Nasi Kapau merupakan makanan tradisi Minangkabau yang berasal dari Nagari Kapau di Bukit Tinggi, Indonesia.

Ketua Jabatan Malakat Food Sdn Bhd, Ahmad Rafudin berkata, pelanggan yang mahu merasakan sendiri keenakan dan keunikan masakan tradisional Indonesia itu perlu hadir ke Malakat Mall pada hari Sabtu dan Ahad ini.
“Nasi Kapau ini umpama nasi campur, dengan lauk pauk istimewa berasaskan resipi dari Indonesia.
“Secara keseluruhannya, terdapat 26 jenis lauk berbeza yang boleh dipilih oleh pelanggan,” kata Rafudin.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengedarkan sumbangan makanan tengah hari Nasi Kapau Kaw Ibu Yeni di Malakat Mall hari ini.
Untuk rekod, menu Nasi Kapau Ibu Yeni ini berasaskan resipi keluarga anggota Malakat Eco, Ibu Yeni Jati dari Indonesia.
“Segala lauk pauk yang ada dalam hidangan ini berasaskan resipi tradisional mereka, jadi rasanya memang berlainan dari masakan kita di sini.
“Jadi saya ingin mengajak semua ‘kaki makan’ supaya datang ke outlet The Tarik Corner pada hujung minggu ini untuk merasakan sendiri keunikan rasa dari Indonesia ini,” kata Rafudin lagi.