Merpati pelangi: Akta Kebajikan Haiwan boleh disabitkan terhadap pelaku

0
44
Merpati pelangi

KOTA BHARU – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan (JPVNK) akan turun ke lapangan untuk memberi khidmat nasihat kepada peniaga burung ‘Merpati Pelangi’ di Tumpat di sini dalam tempoh terdekat.

Timbalan Pengarah JPVNK, Dr Syarifah Asiah Mohd Amin berkata pihaknya juga akan menyelidik terlebih dahulu isu mengecat burung terbabit yang mungkin memberi kesan kepada kebajikan haiwan itu, lapor Bernama.

“Perkara ini boleh dikaitkan dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 722) iaitu pemilik perlu bertanggungjawab ke atas keperluan kebajikan haiwan masing-masing.

“Bagaimanapun, kita akan turun ke lapangan untuk melihat perkara ini dengan lebih dekat dan memberi konsultasi mengenai Akta Kebajikan Haiwan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, pihaknya turut menasihati orang ramai agar tidak melakukan apa-apa perkara yang akan memberi kesan kepada kebajikan haiwan peliharaan mahupun untuk dijual sekali gus mengelak berlaku penganiayaan.

Ahad lalu, media melaporkan seorang peniaga burung merpati dan ayam serama di Kampung Kepulau di Tumpat mengambil inisiatif menyembur cat di badan burung terbabit yang kemudian digelar ‘Merpati Pelangi’ untuk melariskan jualan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here