Minat Vespa kami bukan pada nilaian atau harga

0
145
Sebahagian daripada 300 buah motosikal jenama Vespa dan Lambretta yang dipamerkan sepanjang acara Vesparuddin di Malakat Mall, semalam.

BAGI yang tidak mengenal dan menghargai keindahan reka bentuknya, minat terhadap motosikal klasik seperti Vespa sering kali dianggap hobi lapuk dan ketinggalan zaman.

Namun hakikatnya hanya ‘jauhari jugalah yang mengenal manikam’. Kepuasan memiliki jentera buatan Itali tersebut bukan sekadar untuk ditunggang tetapi lebih daripada itu.

Memilikinya umpama mewarisi satu karya ulung dalam jenama pemotoran yang sudah bertapak sejak lebih 80 tahun yang lalu apatah lagi berkongsi jenama yang sama dengan jutaan pengguna di seluruh dunia.

Jadi tidak pelik jika ada yang sanggup berbelanja sehingga puluhan ribu ringgit untuk memiliki dan menghias sebuah Vespa demi minat dan nilai vintage-nya.

Presiden Kelab Vespa Malaysia, Danny Saadin bagaimanapun berkata, seperti kebanyakan komuniti hobi lain, soal harga atau wang ringgit jarang diperkatakan kerana ia adalah sesuatu yang subjektif.

“Dalam mana-mana minat pun, soal wang ringgit bukan jadi pengukur tapi harga untuk bermain ‘barang’ yang semakin sukar diperolehi ini memang tinggi.

“Tapi minat kami sebenarnya lebih daripada itu dan lebih penting adalah penyatuan dan keakraban ahli dalam kelab dan komuniti,” katanya.

Danny Saadin

Beliau ditemui pada acara Vesparudin yang berlangsung di Malakat Mall, Cyberjaya, semalam.

Acara selama dua hari itu menghimpunkan peminat Vespa, kereta mini dan motosikal berkuasa tinggi dari seluruh negara.

Bercerita lebih lanjut, Danny berkata, harga bagi sebuah Vespa terpakai (klasik) di pasaran boleh mencecah sehingga RM5,000 sehingga puluhan ribu ringgit bergantung kepada keadaan dan model.

“Permintaan yang sangat tinggi di pasaran. Biasanya saya tengok kalau ada yang pos dalam marketplace di Facebook, tak sampai dua-tiga jam dah terjual.

“Dari segi harga, sebenarnya ramai yang tak letakkan ia sebagai ‘halangan’, asalkan mereka dapat apa yang mereka nak itu dahulu,” katanya.

Selain harga yang bergantung kepada jenis-jenis model, ‘pelaburan’ dalam minat Vespa juga ditentukan oleh sejauh mana kehendak seseorang itu untuk melakukan ubah suai atau kustom untuk tambil lebih menarik dan lain dari yang lain.

“Barang-barang Vespa memang sukar diperolehi kerana ini barang lama. Jadi ada komponen yang terpaksa diimport dari luar negara dan ini melibatkan kos yang tinggi,” katanya.

Selain itu katanya, ada juga pemilik yang sanggup berbelanja lebih besar untuk meningkatkan prestasi jentera bagi tujuan perlumbaan di litar.

Gambar Facebook Kelab Vespa Malaysia.

Menurut Danny, minat terhadap Vespa pada masa kini semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda termasuk mereka yang memilih model-model baharu motosikal jenama itu.

“Model-model baharu Vespa kini semakin selesa dan mempunyai kapasiti enjin yang lebih besar.

“Ia sesuai untuk mereka yang gemar menunggang jarak jauh dan juga untuk kegunaan harian,” katanya yang pernah mengembara menaiki Vespa 300 cc miliknya ke Thailand.

Segmen auto-show Vespa yang menarik minat pengunjung pelbagai kaum.
Vesparudin di Malakat Mall yang turut diserikan dengan pelbagai acara menarik seperti mencari harta karun, kuiz dan persembahan pentas oleh kumpulan muzik Gerhana Ska Cinta.
Vesparudin di Malakat Mall yang turut diserikan dengan pelbagai acara menarik seperti mencari harta karun, kuiz dan persembahan pentas oleh kumpulan muzik Gerhana Ska Cinta.

Sementara itu, mengulas mengenai acara Vesparudin di Malakat Mall yang berakhir semalam, Danny memuji kesediaan pusat beli belah itu menjadi tuan rumah dan berharap acara seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

Katanya, sepanjang dua hari acara, sekurang-kurangnya 300 buah Vespa telah dipamerkan kepada orang ramai.

“Alhamdulillah, saya mewakili Kelab Vespa Malaysia mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Malakat Mall atas kejayaan acara ini.

“Ada pemilik Vespa yang datang dari luar Lembah Klang seperti Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak,” katanya.

Kelab Vespa Malaysia yang merupakan satu-satunya kelab vespa berdaftar dengan ROS ditubuhkan pada 2019 dan kini mempunyai kira-kira 500 orang ahli.

Beliau juga berharap, Malakat Mall dapat menjadi tuan rumah kepada acara perhimpunan Vespa yang lebih besar.

“Pada Jun tahun ini, kami ahli kelab akan ke Indonesia untuk menyertai perhimpunan pemilik Vespa terbesar di Asia yang dijangka disertai puluhan ribu peminat jentera ini,” katanya.

Sebahagian daripada Vespa klasik yang dipamerkan di Malakat Mall sepanjang penganjuran Vesparudin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here